Tuesday, June 16, 2009

PERAYAAN GAWAI DAYAK ‘1MALAYSIA SEGULAI SEJALAI’ PENUHI HARAPAN MASYARAKAT SARAWAK


KUCHING, Tanggal 1 Jun setiap tahun merupakan satu tarikh penting kepada masyarakat Dayak kerana pada hari itulah mereka menyambut perayaan Gawai Dayak tidak kira di mana sahaja mereka berada. Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, tradisi sambutan Gawai Dayak yang menandakan berakhirnya musim menuai padi, disambut sederhana tetapi tetap dengan penuh kemeriahan di setiap pelusuk Sarawak ini khasnya di rumah panjang dan perkampungan masyarakat Dayak yang merangkumi suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Pemilihan Jun sebagai bulan sambutan Gawai Dayak dalam kalender masyarakat Dayak bertepatan dengan berakhirnya musim menuai padi di Bumi Kenyalang.



Gawai Dayak adalah adat dan tradisi rumah panjang sebagai lambang rasa syukur terhadap hasil padi yang diperoleh selain mendoakan agar hasil padi pada masa akan datang menjadi lebih banyak. Terdapat beberapa kategori perayaan Gawai yang masih lagi diwarisi sejak turun temurun sejajar dengan kepercayaan nenek moyang seperti Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Padi, Gawai Antu, Gawai Pankong Tiang,Gawai Sakit, Gawai Umai, Gawai Tajau dan Gawai Pengap. Biasanya Gawai disambut selama 14 hari dan majlis penutupan Gawai dikenali sebagai "ngiling bidai".

Bersempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009 bertemakan ‘1Malaysia Segulai Sejalai’ telah memperlihatkan keserasian pelbagai kaum bagi meraikan sambutan Gawai Dayak di bawah konsep 1Malaysia. Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya ketika sambutan Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2009 menyatakan bahawa masyarakat berbilang kaum di negara ini yang masih terkebelakang dan miskin akan mendapat pembelaan lebih daripada kerajaan menerusi konsep 1Malaysia.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan mahu memastikan setiap kaum di negara ini dibangunkan secara bersama termasuk mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Kerajaan juga akan terus berjuang serta melaksanakan apa juga program bagi memastikan setiap kelompok masyarakat di negara ini merasakan untung nasib mereka terbela menerusi konsep 1Malaysia.

“Sebagai contoh, apabila kita menawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini, kita memberi pertimbangan khusus kepada masyarakat di luar bandar termasuk di Sarawak dan Sabah. Kita berharap dalam pertimbangan seperti ini, maka kita akan dapat seiring dan sejalan sesuai dengan tema kita pada malam ini ‘segulai sejalai’ ke arah pembentukan negara Malaysia.”

Mulai tahun depan sambutan rumah terbuka Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun di Sarawak, akan diadakan di Semenanjung bagi memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat budaya itu.

Sumber: Bernama

1 komen:

  1. agi idup agi ngelaban..
    dont study hard but study smart..(^_^)
    take care!!tq tq tq tq

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger