Wednesday, July 15, 2009

DUN N41 MANEK URAI: MAJORITI UNDI PAS KURANG PETANDA RAKYAT MAHUKAN PERUBAHAN

Persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Manek Urai telah sampai ke penamatnya apabila calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah memenangi pilihan raya tersebut dengan kelebihan 65 undi mengatasi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat. Melihat kepada keputusan tersebut, sebenarnya BN tidak kalah dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai ini walaupun gagal memperoleh kemenangan muktamad. Sebaliknya, BN berjaya kemenangan moral apabila berjaya mengurangkan jumlah majoriti pengundi sebelum ini. Terdahulu, dalam pilihan raya umum lepas, PAS memperolehi majoriti 1,352.


Kekalahan tipis calon BN kepada calon PAS dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai hari ini menunjukkan angin perubahan akan berlaku atau lebih tepat lagi rakyat mahukan angin perubahan. Kejayaan mengurangkan jumlah majoriti daripada 1,352 undi sebelum ini kepada 65 undi merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan perubahan. Keputusan itu juga menunjukkan petanda rakyat sudah mula memahami dan boleh menilai kepimpinan berwibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Tun Razak untuk membawa perubahan kepada negara.


Kawasan DUN N41 Manek Urai mempunyai 31,000 orang penduduk. Daripada jumlah tersebut, hanya12,929 penduduk sahaja yang layak mengundi dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai. Peratus keluar mengundi yang dicatatkan dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai ini telah meningkat kepada 87.3 peratus. Peratusan keluar mengundi ini melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Peningkatan peratusan pengundi keluar ini didorong oleh keadaan cuaca yang mengizinkan, ditambah pula cuti umum bagi negeri Kelantan sehingga mendorong pengundi yang berada di luar kawasan dapat turun mengundi dan kesedaran pengundi terhadap proses demokrasi.


Kejayaan tipis PAS itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada BN kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat PAS di N41 Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.


Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.


Kemenangan tipis PAS berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:


a. Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.

b. Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.

c. Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.

d. Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.

e. Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.


Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat PAS kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.


Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi ‘anak emas’ Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang. Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari.


Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi PAS yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.


Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.


Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat PAS. Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.


1 komen:

  1. salam...kita dah dpt nangga rakyat pun dapat fikir sapa sebenarnya yang membela cdaknya...PAS menang tipis di manik urai bermaksud cdak dah bukak mata ngan lejuk nangga perangei pemimpin PAS yang nganok orang jak kerja..xda keja lain..mujurlah cdak tok sik kuat di Sarawak..mun sik hancur Sarawak dikerjanya..Kelantan ya dah sikda pokok agik dijual cdak PAS..mun nya datang Sarawak alu gondollah Sarawak...hepi jumpa blogger Sarawak aie....salam..jangan lupak singgah nangga blog kmk ah....

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger