Tuesday, July 14, 2009

HADIAH “100 HARI” PERDANA MENTERI KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Pada 11 Julai 2009, genaplah 100 hari Datuk Seri Najib bin Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Bersempena dengan sambutan ke-100 hari itu yang berlangsung di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri telah mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat.


1- Diskaun Tol

Pengguna Smart Tag dan Touch n' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus berkuat kuasa 1 September ini.

Perdana Menteri berkata, potongan itu bagi meringankan beban pengguna lebuh raya dan bersifat penyelesaian sementara bagi menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang akan mengambil masa.

"Saya pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dia terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan, manakala gaji bulanannya RM3,000. Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan setahun kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (potongan) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutama yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya.


2- Rumah Rakyat

44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

Kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik mengikut Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memutuskan penyewa program itu di Wilayah Persekutuan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah sewa itu.
Sehubungan itu, katanya, sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.


3- Lesen Penjaja

Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.

Selain itu, hadiah untuk rakyat membabitkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil juga diumumkan Najib apabila 69,000 golongan itu di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan 50 peratus atau RM10 hingga RM700 setahun bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

"Ini akan memberi banyak kelegaan... saya harap negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen lain juga akan dikurangkan, " katanya.


4- Permit Teksi

3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.

Katanya, kerajaan juga mempunyai dasar bagi membantu pemandu teksi dan ketika ini ada ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran RM50 sehari, selain kos lain seperti minyak.

Berikutan itu, kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, iaitu pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang sudah diberikan setakat ini.


5- Cegah Jenayah

Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.

Selain itu, Najib juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.


6- Daftar Kelahiran

Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

Mengenai kewarganegaraan, Najib mengumumkan jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lalu, sebanyak 46 peratus sudah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Katanya, terdapat ramai ibu bapa yang lambat mendaftarkan kelahiran anak mereka dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.
"Di Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan. Di Sarawak pula, sejak 2005, 19,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 80 peratus permohonan diluluskan, " katanya.

7- Jalan Luar Bandar

Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.

Berhubung infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri itu, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.


8- Bekalan Air Dan Elektrik

Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

Najib juga berkata, liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.


9- Latihan Motosikal

Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

Perdana Menteri turut mengumumkan caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

"Saya mendapati ramai penunggang terutama anak muda yang menunggang motosikal 'kapcai' tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan agak tinggi, RM500 hingga RM700 seorang. Berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan ini,” katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin terutama pelajar sekolah.


10- Tambah Peruntukan

Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

Selain itu, katanya, peruntukan skim Tekun Nasional ditambah RM150 juta lagi dan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.


11- Unit Amanah

Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

Penubuhan tabung AS 1Malaysia di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini.

"Tabung ini dijangka memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang. Penubuhan itu langkah tambahan kepada dana amanah saham sedia ada," katanya.

Dalam ucapan bertajuk Warkah Harapan, Najib berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta Skim Amanah Saham Wawasan bagi golongan miskin tegar bandar bagi meringankan beban mereka terutama pada hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak.

"Menjelang 2010, kira-kira 10,000 isi rumah miskin tegar bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih,"


REAKSI AWAM TERHADAP PENGUMUMAN 11 HADIAH DARIPADA DATUK SERI NAJIB KEPADA RAKYAT

Pelbagai pihak menyifatkan pengumuman 11 hadiah mesra rakyat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin membuktikan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan rakyat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata pengumuman itu membuktikan Perdana Menteri sudah pun melangkah ke hadapan dalam usaha menangani masalah rakyat.

"Ini adalah satu tindakan atau langkah yang betul seperti slogan beliau (Perdana Menteri) sebelum ini rakyat didahulukan. Pengumuman ini sememangnya diharapkan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.

Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata pengumuman itu membuktikan Najib memenuhi tuntutan rakyat sebelum ini.

"Jika diteliti daripada pengumuman Perdana Menteri, 11 hadiah yang diumumkan itu adalah kehendak rakyat sebelum pilihan raya umum lalu dan beliau menunaikan tuntutan itu dengan harapan dapat mensejahterakan rakyat," katanya.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger