Monday, July 6, 2009

KONSEP KESAMARATAAN PAKATAN RAKYAT MEMAKAN DIRI SENDIRI



Ibarat kata pepatah Senjata Makan Tuan, itulah yang sedang dialami Pakatan Rakyat (PR). Ini berikutan luahan rasa tidak puas hati oleh beberapa pihak dalam DAP, PKR dan PAS kebelakangan ini yang menyerlahkan keadaan kerapuhan dalam ikatan hubungan antara parti-parti dalam pakatan pembangkang itu.

Melihat kepada apa yang berlaku sekarang dalam pakatan pembangkang adalah berpunca daripada tiadanya parti dominan bagi menentukan hala tuju gabungan itu. Ketiga-tiga parti pembangkang itu cuba untuk mendapatkan kedudukan yang sama iaitu sebagai parti yang memimpin. Namun, ia telah dihalang oleh matlamat penubuhan PR itu sendiri.

Tidak seperti Parti Barisan Nasional (BN) yang mana UMNO merupakan parti dominan kepada parti kompenannya yang lain yang berasaskan demografi dan sejarah, tetapi dalam pakatan tidak ada yang dominan dan masing-masing ingin menjadi pemimpin utama dalam pakatan.

Setiap kali ucapan dan kenyataan beberapa pemimpin PR, mereka lebih merujuk kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PR. Namun, sejauh mana penerimaan ahli dan pemimpin lain di PAS dan DAP? Demikian juga, persoalan adakah Anwar diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju pakatan itu, sedangkan setiap parti ada ideologi sendiri yang hendak ditegakkan? Setujukah pemimpin-pemimpin PAS dan DAP untuk merujuk kepada Ketua Umum PKR itu?

Merujuk kepada sistem perkapalan, pastinya ada kapten yang akan bertanggungjawab sebagai ketua yang akan mengemudi di atas kapal di sepanjang pelayaran tersebut. Demikian juga dalam pengurusan politik, syarikat, jabatan dan organisasi. Namun, perkara ini tidak kepada PR yang masing-masing mahu menonjolkan diri sebagai pemimpin utama PR walaupun sebenarnya ia tidak berlaku. Tiada kata pemutus dan tiada pengumuman rasmi mengenai siapa sebenarnya yang menjadi pemimpin dan parti dominan. Pemimpin-pemimpin PR perlu mempelajari dan menguasai ilmu pengurusan organisasi.

Setelah berjaya mendapatkan kerajaan negeri di 5 buah negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan kemudiannya menjadi 4 negeri, PR tiada kejelasan berhubung pemimpin utama dalam PR. Sebaliknya, mereka bersetuju setiap negeri yang ditadbir mereka dipimpin mengikut ideologi parti yang mendominasi. Sebelum ini, ramai pemimpin PKR merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum tetapi tidak bagi pemimpin-pemimpin dari PAS dan DAP.

Melihat kepada BN, ada kapten yang berperanan mengemudi kapal. Tetapi tidak bagi PR. Berdasarkan kepada situasi sekarang, adalah sukar untuk PR melaksanakan konsep kepimpinan dominan seperti yang diamalkan BN. Ini kerana, pakatan terbina berasaskan konsep adil, iaitu setiap parti berkongsi kuasa secara sama rata. Dan, sekiranya pakatan menggunakan pendekatan kepimpinan dominan pastinya ia telah lari dari konsep adil yang mereka bawa dan perjuangkan sebelum ini.

BN terbina berdasarkan maufakat dan sejarah tetapi PR terbina berdasarkan fair and square. Oleh yang demikian, dalam BN tiada persengketaan yang berlaku berhubung dengan pengurusan organisasi politik manakala PR sebaliknya dengan hubungan mereka mesti berlandaskan fair and square. Ketika PRU ke-12 dahulu, masyarakat menolak BN disebabkan UMNO terlalu dominan manakala PR bersifat keadilan. Dan sekarang, PR tersepit dengan keadilan yang diperjuangkan mereka sendiri.

Ketiadaan parti yang dominan akan menyebabkan percanggahan memandangkan masing-masing masih dengan ideologi parti masing-masing. Dan, inilah yang berlaku sekarang di dalam PR. Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PR sering mengkritik dan mencaci UMNO yang cuba berkuasa dalam BN.

PAS lantang dalam menyatakan keutuhan dalam PR tegas mengutamakan musyawarah. Namun, kebelakangan ini PAS telah membelakangkan sekutunya dalam PR apabila mengusulkan pembentukan kerajaan perpaduan dan mengadakan perbincangan dengan UMNO. Berdasarkan kepada situasi tersebut, PAS hanya melaungkan konsep musyawarah hanya di atas kertas dan tidak kepada tindakan sebenar.

Hakikatnya PAS tidak memerlukan DAP untuk mendapat sokongan rakyat seperti di Kelantan dan Kedah. Kedua-dua negeri itu ditadbir sepenuhnya oleh PAS berikutan kemenangan majoriti mereka dalam PRU ke-12. Pentadbiran Pas di Kelantan dan Kedah juga membuktikan kerajaan yang didominasi satu parti lebih stabil berbanding di Selangor dan di Pulau Pinang yang menyaksikan ketiga-tiga parti sering bertelingkah mengenai isu pengagihan kuasa.

Ketiga-tiga parti pembangkang itu masih perlu belajar untuk bekerjasama dan akan mengambil masa untuk benar-benar mencapai persefahaman. Melihat kepada usia penubuhan PR yang baru beberapa bulan dan belum mencapai akil baligh. Adalah sukar untuk pakatan pembangkang mengukuhkan kerjasama mereka dalam masa yang singkat memandangkan setiap parti masih dibarisi pemimpin generasi lama yang terikat dengan ideologi parti masing-masing. Harus diingat BN pun mengambil masa puluhan tahun untuk sampai ke peringkat kerjasama yang ada sekarang dengan kerjasama, perpaduan dan komitmen bersama demi untuk membangunkan rakyat dan negara.

Secara kesimpulannya pakatan pembangkang terperangkap dengan kata-kata sendiri untuk memperjuangkan hak sama rata tetapi pada masa yang sama juga menuntut 'kuasa' sesama sendiri. Renung-renungkanlah, pilihlah pemerintah dan kerajaan yang mampu membela rakyat dengan “RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger