Monday, July 20, 2009

REGATA SARAWAK 31 JULAI - 2 OGOS 2009


31 JULAI - 2 OGOS 2009
SUNGAI SARAWAK, TEBINGAN KUCHING.
Regata Sarawak datang lagi. Kali ini, Regata Sarawak pastinya lebih meriah dengan Perasmian Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke 218. Perasmian Regata Sarawak dijadualkan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 27 Julai 2009, jam 2.00 petang bertempat di Tebingan Kuching. Pada malamnya, diadakan Kapal Berhias yang diadakan di Sungai Sarawak. Regata Sarawak secara rasminya hanya akan bermula pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009. Orang ramai dijemput hadir bagi sama-sama memeriahkan Regata Sarawak 2009.

Regata Sarawak merupakan sukan air popular yang diadakan setiap tahun. Kemunculannya pada setiap Ogos sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh orang ramai khususnya mereka yang meminati perlumbaan kayak dan perahu panjang. Mengimbau sejarah, regata yang popular di Sarawak dikenali sebagai regata Baram yang telah diadakan buat pertama kali di Marudi pada 1899. Namun begitu, sejarah sukan air itu bermula di Kuching pada 1871 dan ia dikenali sebagai Regata Sarawak. Bermula dari saat itu, Regata Sarawak diadakan setiap tahun dan dijadikan acara tahunan.

Cabaran Regata Sarawak diperkenalkan sebagai sebahagian daripada atur cara dalam Pesta Kuching bagi meraikan sambutan hari ulang tahun bandar raya Kuching dan Hari Kebangsaan. Regata Sarawak mula diperkenalkan sejak 138 tahun lampau dan kini merupakan di antara produk pelancongan yang utama di Sarawak. Ia telah dimasukkan dalam kelompok acara tradisi lain dalam kalendar pelancongan negeri oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam usaha 'menjual' negeri ini di mata dunia.

Berbanding dengan acara lain, Regata Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menarik kedatangan pelancong baik dari Semenanjung atau negara-negara luar. Selain dapat menghayati keindahan dan keaslian Sungai Sarawak, pelancong akan dapat menyaksikan kehangatan dan kemeriahan sukan air tradisi itu dipertandingkan.

Mereka boleh melihat bagaimana para peserta yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dalam satu kumpulan bekerjasama dan berpadu tenaga dalam mengendali perahu panjang masing-masing untuk memburu kejayaan.

Regata Sarawak mampu menjadi saluran terbaik bagi menonjolkan kepada pelancong luar mengenai warisan sukan tradisi yang dipelopori oleh suku-suku kaum yang terdapat di negeri ini. Tidak dinafikan, Regata Sarawak merupakan aset yang amat bernilai kepada Bumi Kenyalang dalam menggemilang dan melonjakkan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi negeri ini pada masa depan.

1 komen:

  1. Salam bro,

    Menarik budaya di Malaysia.

    Harap-harap rakyat tidak terpengaruh dengan perancangan jahat manusia yang ingin merusakkannya.

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger