Wednesday, September 2, 2009

KEPELBAGAIAN ETNIK CETUSKAN SEMANGAT 1MALAYSIA DI SARAWAK

Tanpa mempedulikan suasana sekitar di sebuah kedai kopi, pelbagai isu semasa hangat diperdengarkan oleh masyarakat tempatan sama ada mengenai politik tempatan, pemimpin politik tempatan dan pemilihan dalam parti politik yang sedang berlangsung sekarang dalam suasana yang mesra dan santai.


Sarawak dianggarkan mempunyai kira-kira 30 suku kaum termasuk etnik minoriti yang tidak pernah didengar seperti Lahanan, Sihan, Ukit, Kanowit, Bukitan, Kejaman dan sebagainya. Walaupun suku kaumnya banyak, namun konflik kaum adalah sesuatu yang asing di negeri ini.


Namun begitu, semenjak kedatangan parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) telah mengganggu-gugat kestabilan politik Sarawak dan keamanan masyarakat berbilang kaum. Segala macam budaya demonstrasi dan cacian serta kecaman terhadap pemimpin oleh pembangkang telah cuba diserap ke dalam budaya masyarakat Sarawak.




Ramuan Kejayaan Sarawak


Persoalan apakah ramuan kejayaan Sarawak dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tanpa konflik dan persengketaan? Sarawak pernah juga mengalami pertelagahan kaum tetapi berakhir dengan perdamaian sekitar tahun 1924.


Berdasarkan amalan nyanau atau kegiatan memburu kepala adalah masalah rumit sehingga menjejaskan hubungan etnik, tetapi kini semua itu sekadar tinggal dalam lipatan sejarah. Dari segi sejarah, hubungan perdagangan antara pelbagai kumpulan etnik menjalinkan dan menggalakkan hubungan infra etnik di Sarawak.


Keupayaan Sarawak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) membawa dan mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum telah cuba diragut oleh pembangkang atas prinsip politik berkepentingan peribadi. Politik pembangunan yang dibawa BN pastinya telah membawa banyak perubahan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.



Pendidikan


Dewasa ini, generasi muda yang semakin terdedah kepada dunia luar dengan pendidikan yang lebih baik mempunyai peluang lebih terbuka untuk berinteraksi dengan kaum-kaum lain.



Peluang mendapat pendidikan sepanjang hayat telah banyak membantu rakyat mendapat pendidikan yang sempurna. Pendidikan juga telah membantu masyarakat meningkatkan keupayaan mereka mengekalkan perpaduan bagi menjamin kestabilan politik negara.



Perkahwinan Campur


Penduduk Sarawak kian terbuka kepada perkahwinan campur antara kaum dan agama sehingga berlakunya amalgamasi, iaitu satu proses apabila ras atau budaya bercampur untuk membentuk budaya dan ras baru.


Perkahwinan campur antara Melayu dengan bukan Melayu adalah sesuatu yang biasa. Yang menarik, keluarga asal tidak menentang perkahwinan campur malah amat faham akan tuntutan agama Islam apabila ahli keluarga yang sudah memeluk Islam kembali ke rumah di kampung.



Di Sarawak, sikap bertolak ansur dan persefahaman yang tinggi memungkinkan mereka hidup aman damai dan harmoni dan menjadi pemangkin yang mengukuhkan tali persaudaraan serta perpaduan. Jiran berlainan kaum, agama dan kepercayaan tidak mempunyai masalah dari segi hubungan etnik.

Sesungguhnya, perkahwinan campur antara etnik dengan agama, budaya dan adat resam yang berbeza, bertolak ansur dalam amalan beragama dan kehidupan seharian adalah tunjang utama dalam hubungan etnik yang harmoni di Sarawak. Melalui hubungan ikhlas sesama penduduk bara syak wasangka dapat dipadamkan.



Parti Politik


Keharmonian hubungan etnik terserlah daripada perkongsian kuasa melalui pelbagai parti politik seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dianggotai pelbagai etnik peribumi termasuk masyarakat minoriti.


Sebagai tonggak kepada BN Sarawak, PBB berusaha mempertingkatkan persefahaman dan perpaduan kaum di Sarawak. Selain PBB, Sarawak United People Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Sarawak Progresif Democratic Party (SPDP) di bawah satu komponen BN sentiasa memastikan keharmonian dalam perpaduan dikekalkan dan menjadi kunci kepada pentadbiran berkesan.


Kemasukan PKR di Sarawak dalam usahanya menempatkan diri dalam politik di Sarawak telah tidak disenangi rakan karibnya DAP yang menganggap kemunculan PKR bukan sahaja mengganggu perancangan DAP bahkan melenyapkan dominan DAP sebagai sebuah parti pembangkang yang dihormati.



Kesimpulan


Prasangka, stereotaip dan etnosentrisme adalah musuh utama perpaduan dan pencapaian konsep 1Malaysia. Sarawak bernasib baik kerana pada amnya rakyat pelbagai etnik tidak mempunyai prasangka terhadap etnik lain. Itulah sebabnya mereka dapat berinteraksi dalam pelbagai keadaan.





Toleransi yang tinggi dalam masyarakat pelbagai kaum tidak harus digadai untuk kepentingan politik jangka pendek. Sebarang anasir luar yang cuba menyusup dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan harmoni harus dicegah daripada awal sebelum terlambat. Bukan mudah untuk membina perpaduan dan toleransi tetapi perpaduan dan keharmonian dapat diruntuhkan dengan sekelip mata.

Bersempena dengan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 yang bertemakan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, marilah kita bersama-sama bersyukur dan berasa keinsafan di atas apa yang telah berlaku. Kepada rakyat Sarawak, marilah kita sama-sama memelihara perpaduan dan keamanan yang sedang dikecapi sekarang dan menolak sebarang cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan yang telah kita nikmati 46 tahun. Kekalkan pentadbiran sedia ada.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!!!. Merdeka, Merdeka, Merdeka.

1 komen:

  1. Wira kenyalang,
    benar sekali apa yg kau ckp kan itu, org sarawak memang org yg bersopan santun dan menghormati tetamu, pengalaman itu aku lalui sendiri dgn sahabat aku org sarawak keturunan iban, tahap kesopanan dan toleransi mereka sgt tinggi.
    Toleransi ini harus dikekalkan, salah satu caranya ialah dgn menyekat kemasukan anasir2 perpecahan yg dibawa oleh PR, terutamnya dap & pkr, klu blh jgn beri mereka peluang langsung utk jejakkan kaki di tempat saudara.
    tengok sahaja di semenanjung keadaan jd tak tenteram hasil dari kekecohan yg dibawa oleh PR ni.

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger