Tuesday, October 20, 2009

16 SEPTEMBER CUTI UMUM: KERAJAAN HARGAI PERJUANGAN RAKYAT SARAWAK DAN SABAH

Pelbagai pihak terutama rakyat Sabah dan Sarawak serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gembira pengisytiharan cuti umum seluruh negara pada 16 September sebagai Hari Malaysia dan menyifatkan ia adalah langkah bijak kerajaan dalam serta merealisasikan konsep 1Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas, berkata beliau mengalukan keputusan kabinet itu dan ia menunjukkan kerajaan begitu komited dalam menyatu padukan rakyat di seluruh negara.

“Dengan adanya cuti umum ini, rakyat negara ini akan dapat memahami konsep penubuhan Persekutuan Malaysia dengan lebih mendalam,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata, 16 September adalah peristiwa bersejarah kerana ketika itu rakyat Sabah yang terdiri pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia seterusnya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun sebagai cuti awam seluruh negara mulai tahun depan, akan mencetuskan semangat dan iltizam rakyat negeri itu untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesuai dengan gagasan 1Malaysia.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan, Lihan Jok, berkata langkah itu membolehkan penduduk lebih memahami gagasan 1Malaysia.

Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Senator Datuk Maijol Mahap, berkata pengumuman itu membuktikan Najib tidak mengabaikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak untuk meraikan pembentukan Malaysia bersama rakyat Semenanjung.

Sumber: Berita Harian

1 komen:

  1. Salam, syukurlah....... kita sama-sama meraikannya

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger