Thursday, November 19, 2009

AKIBAT MULUT BADAN BINASA: TUDUHAN ADUN DAP HANYA UNTUK DAPATKAN PUBLISITI

ADUN DAP-Kota Sentosa, YB Chong Chien Jen telah menerima hukuman akibat daripada perbuatannya sendiri apabila melemparkan tuduhan liar kepada Kerajaan. Tuduhan liar ADUN Kota Sentosa itu ke atas Kerajaan Sarawak yang mengatakan bahawa dana pembangunan yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri hanya dikawal atau dipegang oleh Menteri Kewangan adalah sebagai ‘tidak benar’.

Tuduhan itu tidak berasas sama sekali kerana sebelum sesuatu belanjawan dibentangkan, setiap kementerian diminta mengemukakan keperluan masing-masing untuk digunakan pada tahun depan.

Di sini jelas menunjukkan bahawa YB Chong Chien Jen ini tidak mengetahui atau memahami proses penyediaan Bajet Negeri. Sebaliknya, hanya melontarkan tuduhan yang tidak benar sehingga boleh memesongkan tanggapan orang ramai ke atas Kerajaan. Beginilah sikap pemimpin pembangkang yang sengaja hendak menonjolkan kontroversi bagi mendapatkan perhatian.

Proses penyediaan Bajet adalah seperti berikut, Kerajaan pada bulan September setiap tahun dengan setiap agensi atau jabatan mengemukakan rancangan pada tahun depan kepada kementerian masing-masing. Selepas itu, ia akan diterima oleh Jawatankuasa Bajet Negeri yang membabitkan semua Setiausaha Tetap Kementerian. Seterusnya ia akan dibincangkan di peringkat kabinet dan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan hanya terbabit di peringkat akhir, sebelum dibentangkan dalam persidangan DUN untuk diluluskan.

Tindakan YB Kota Sentosa itu yang memperlekehkan Bajet Negeri boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, keputusan mengenakan hukuman ke atas ADUN Kota Sentosa itu dilihat sebagai wajar dan ‘terpaksa’ dilakukan kerana YB Chong Chien Jen itu gemar melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Persidangan DUN Sarawak merupakan tempat penting untuk mengetengahkan permasalahan rakyat dan berbincang secara serius dalam apa-apa perkara. Sebaliknya, YB Kota Sentosa itu menjadikan DUN Sarawak sebagai kedai kopi yang membincangkan perkara yang remeh temeh.

Sumber: Utusan Borneo

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger