Thursday, November 19, 2009

KENYATAAN VOON LEE SHAN BERBAU HASUTAN PERKAUMAN

Wakil Rakyat BN telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wakil Rakyat DAP-Batu Lintang, YB Voon Lee Shan yang disifatkan berbaur hasutan dan berniat melaga-lagakan masyarakat di Sarawak dan Malaysia.

Laporan itu menyatakan kata-kata yang menyentuh sensitiviti kaum terutama berkaitan masyarakat Melayu dan Dayak telah dibuat oleh YB Voon Lee Shan pada 11 November 2009 (Rabu) pada kira-kira jam 6.15 petang, semasa berucap dalam perbahasan. Terdahulu, wakil rakyat BN telah memberi tempoh sehingga 17 November (Isnin) untuk menarik balik kenyataannya tetapi enggan berbuat demikian.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat BN telah meminta Wakil Rakyat DAP-Batu Lintang itu meminta maaf atau menarik balik kenyataannya namun, beliau tidak mengendahkannya.

Berikut antara bahasa dan ucapan Voon Lee Shan pada muka surat 55 dan 56 Penyata Rasmi Persidangan DUN, bertarikh 11 November 2009.

“Apabila kita membentuk Malaysia, kita telah membiarkan diri kita dikalsifikasikan sebagai Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Rakan-rakan Dayak kita di negeri ini terperangkap dan tidak sedar akan impian besar seorang pemimpin Melayu, Tunku Abdul Rahman yang memecahbelahkan rakyat Malaysia kepada Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang bertujuan untuk memperkasakan penguasaan Melayu dalam politik dan kaum ke atas kaum-kaum lain di Malaysia”.

“Melayu dijadikan kaum yang berkuasa diikuti kaum pribumi yang lain, tetapi tanpa disedari masyarakat Dayak, dengan definisi ‘pribumi’ telah mengenepikan masyarakat Iban dan Bidayuh. Beginilah cara masyarakat Melayu di Malaya yang dirancang oleh Tunku Abdul Rahman menguasai politik dan ekonomi Malaysia sejak 46 tahun lalu”.

“Iban dan Bidayuh sebagai dua kaum pribumi terbesar telah diperbodohkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 46 tahun sejak Malaysia terbentuk namun tiada wakil terpilih sehingga ke hari ini berani bersuara mengenai perkara ini kepada UMNO dan masyarakat Melayu dari Malaya yang mahu menguasai masyarakat Dayak di Sarawak”.

Ucapan tersebut dilihat berbau hasutan dan berniat jahat untuk melaga-lagakan masyarakat majmuk di negeri dan negara ini. Ini adalah satu tindakan yang amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Untuk itu, laporan polis dibuat dan diminta siasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Sumber: Utusan Sarawak

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger