Saturday, December 5, 2009

PEMIMPIN-PEMIMPIN HARUS TURUN PADANG LIHAT PROJEK RAKYAT DAN BUKANNYA MENGKRITIK KERAJAAN SAHAJA

KUCHING – Pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya wakil-wakil rakyat harus turun padang untuk melihat projek-projek yang dilaksanakan Kerajaan kepada rakyat yang diwakilinya dan bukan hanya mengkritik Kerajaan melalui akhbar dan internet sahaja.

Melihat keadaan sekarang pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat pembangkang cenderung mengkritik Kerajaan tetapi tidak pernah turun padang melihat projek yang dilaksanakan Kerajaan. Dan, apabila mengkritik bukan berdasarkan fakta tetapi mengikut emosi dalam usaha mempengaruhi pembaca dan masyarakat. Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat pembangkang hanya menjadikan politik sebagai pentas untuk mempengaruhi rakyat membenci Kerajaan dan bukannya membantu mengatasi masalah rakyat.

Di kawasan Kuching Selatan, Datuk Bandar MBKS James Chan meminta pemimpin-pemimpin pembangkang turun padang dan menilai sendiri projek yang telah dilaksanakan Kerajaan. Menjadi kebiasaan, pemimpin-pemimpin pembangkang hanya pandai mengkritik tetapi tidak mahu turun padang untuk melihat projek-projek yang dilaksanakan Kerajaan di kawasan mereka.

Sebagai contoh, walaupun kawasan Padungan yang diwakili ADUN YB Dominique Ng Kim Ho dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun Kerajaan tetap melaksanakan projek di kawasan itu. Sebagai wakil rakyat, ADUN itu perlu juga bersama-sama meninjau projek yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Dan, bukannya hanya pandai mengkritik Kerajaan sahaja tanpa melihat keprihatinan Kerajaan terhadap rakyat di kawasan itu.

Tindakan Kerajaan melaksanakan projek-projek di kawasan yang diwakili pembangkang membuktikan bahawa Kerajaan tidak melihat ideologi politik sebagai halangan Kerajaan untuk membantu rakyat. Dalam hal ini, Kerajaan membuktikan bahawa tindakan Kerajaan benar-benar prihatin terhadap nasib rakyat seperti yang diterjemahkan Perdana Menteri, rakyat didahuluka, pencapaian diutamakan. Manakala pembangkang pula sentiasa dengan mottonya, pembangkang didahulukan, rakyat dikemudiankan.

Terdahulu, Datuk Bandar MBKS bersama dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Seri Douglas Unggah Embas telah meninjau projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Padungan.

Apabila siapnya projek tebatan banjir itu nanti, penduduk di kawasan terbabit akan berasa lebih selesa dan mampu mengatasi masalah banjir.

Projek yang bermula pada 3 Ogos 2009 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun depan dengan kos berjumlah RM18.4 juta.


Sumber: Utusan Borneo

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger