Sunday, January 24, 2010

KERAJAAN BUKAN PEROMPAK DAN TIDAK PERNAH MERAMPAS HAK PEMILIK TANAH

Pemilik tanah di Sarawak supaya memastikan tanah tersebut benar-benar hak mereka sebelum membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan.

Sebelum ini, beberapa pemilik tanah cenderung menggunakan pembangkang atau melepaskan geram melalui penulis blog dan media siber untuk memperjuangkan “hak” mereka walaupun nyata tanah tersebut bukan milik mereka. Masalah ini timbul kerana pemilik tanah atau mereka yang mewarisi dan menduduki tanah tidak dapat membezakan di antara Tanah Hak Adat Bumiputera, NCR dan tanah Temudak.

“Ingin saya maklumkan bahawa tanah NCR ialah tanah yang diwarisi turun menurun sebelum 1958 manakala tanah Temudak ialah tanah yang diduduki selepas tahun tersebut (1958)”, kata Dr Stephen Rundi.

“Apabila kerajaan tidak membayar pampasan bila mengambil tanah Temudak untuk tujuan pembangunan, mulalah mereka mencari pembangkang atau menggunakan medium media siber untuk melepaskan geram tanpa berbincang dahulu dengan kerajaan” ulas beliau lagi sambil menambah kerajaan bukan perompak dan tidak pernah merampas hak pemilik tanah.

“Jika ada pihak yang mahu merampas tanah milik rakyat di kawasan saya, saya yang pertama akan berjuang untuk mereka. Tapi pastikan lah tanah itu hak anda dari segi undang-undang” tegas beliau.

Dr Stephen Rundi bagaimanapun berkata masih ada ruang untuk mereka yang menduduki tanah Temudak dibantu oleh kerajaan dengan syarat mereka duduk berbincang dengan pihak kerajaan mengenainya.

“Mereka boleh beritahu kerajaan bahawa mereka telah menduduki tanah (Temudak) itu dan menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian di atas tanah tersebut” kata beliau sambil menambah kerajaan sedia mendengar dan memberi pertimbangan sewajarnya.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger