Friday, January 22, 2010

Landskap Politik Sarawak Jangan Dipandang Ringan

Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, YB Gabriel Adit Demong merasmikan Parti Cinta Malaysia (PCM) Cawangan Ngemah di Rumah Unchin Demong di Nanga Bejait, Kanowit Sabtu lalu, Pengerusi PCM Sarawak itu meletakkan harapan tinggi untuk bertanding di 36 kerusi dalam Pilihan Raya DUN Sarawak akan datang.

Adit yang telah kehilangan arah telah membuat keputusan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan menyertai PCM sedar akan hakikat bahawa pengaruhnya adalah terbatas kepada kawasan Kanowit.

PCM seperti parti lain yang pernah hadir dalam arena politik Sarawak dijangka tidak memberi kesan, malah nasib Adit di kawasannya sendiri adalah kelabu. Peluang untuknya mengekalkan kerusi itu dijangka tipis. Adit tidak boleh dipersalahkan jika beliau mempunyai keyakinan tinggi untuk memenangi kerusi itu sekali lagi. Beliau tidak pernah tewas dalam sebarang pilihan raya di kerusi Ngemah yang menjadi kubu kuatnya sejak 1981 dan sudah menjadi ADUN selama 5 penggal.

Namun, hal ini tidak mematahkan azam beliau untuk memperluas sayap parti itu di kawasan luar bandar dengan majoriti Iban, termasuk di Kakus, Sri Aman, Lubok Antu, Batang Air, Betong, Saratok, Engkilili dan Serian.

PCM perlu bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN) sama ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di kawasan majoriti Iban.

Berdasarkan sejarah, amat sukar bagi PCM untuk menyebarkan pengaruhnya di kalangan pengundi dan rakyat luar bandar dalam waktu singkat, menjelang Pilihan Raya DUN Sarawak yang dijangka diadakan sebelum suku pertama tahun depan. Dengan keterbatasan kewangan, kredibiliti kepemimpinan Adit sendiri yang boleh dipertikaikan, kelemahan sokongan akar umbi, selain kekuatan dan kelebihan yang masih memihak kepada BN.

Impian PCM untuk memenangi sebarang kerusi akan menjadi mimpi ngeri. Ini adalah kenyataan pahit yang perlu diterima Adit sebagai pemimpin parti baru seperti PCM. Kecualilah beliau dapat meyakinkan PCM mampu memperjuangkan dan mentransformasi sosioekonomi pengundi luar bandar, terutama menyelesaikan isu berkaitan Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang jelas menjadi duri dalam daging bagi BN.

DAP memasang angan-angan untuk bertarung di sekurang-kurangnya 20 kerusi. Jumlah itu semacam kompromi dan tanda bahawa DAP yang menang besar dalam pilihan raya negeri 2006, ingin memastikan wujud kesepakatan dari segi pengagihan kerusi dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Parti pimpinan Wong Ho Leng itu mempunyai keyakinan tinggi untuk menambah jumlah 7 kerusi yang dimenanginya pada 2006 di tengah-tengah kemelut yang melanda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Impian DAP untuk memenuhi hasratnya itu mungkin tidak sukar direalisasikan jika SUPP gagal menyelesaikan segera masalah dalaman yang membelit parti berusia 50 tahun itu untuk sekian lama.

Masyarakat Cina sudah muak dengan kerenah pemimpin parti tersebut yang dianggap bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan peribadi yang sempit. Pilihan raya akan datang tidaklah semudah pilihan raya yang lepas-lepas bagi BN. Landskap dan peraturan politik negeri sudah jauh berubah. Semakin ramai golongan muda akan mengundi dan rakyat semakin sedar dan kritikal terhadap pemimpin.

BN perlu segera menyelesaikan pelbagai isu dan masalah rakyat termasuk masalah ciptaannya sendiri, terutama isu tanah NCR. Dengan gendang perang yang sudah dipalu parti pembangkang, BN tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihannya selama ini.

Namun, dengan politik keperluan asas yang masih lagi kuat menguasai rakyat, bukanlah tugas yang mudah untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kepemimpinan negeri sekurang-kurangnya untuk 3 pilihan raya lagi.

Sumber: Berita Harian

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger