Wednesday, May 5, 2010

DAP PUNYA RAMAI CALON BERPOTENSI TAPI WONG HO LENG JUGA PILIHAN PAKATAN RAKYAT SARAWAK

BN telah mengumumkan calonnya lebih awal, Robert Lau Hui Yiew yang mempunyai pangkal nama depan yang sama dengan mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga merupakan saudara mendiang. Ketika BN telah bersedia lebih awal dalam memperkenalkan calon, Pakatan Rakyat khususnya DAP pula telah menyenaraikan 8 calon yang dianggap berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon DAP termasuk Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga merupakan pesaing BN dalam PRU 2008.

Sepanjang 2 minggu selepas kematian mendiang dan ketika SPR bersedia mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk PRK P.212 Sibu, DAP kerap mewar-warkan nama-nama bakal calon DAP terbaik untuk diketengahkan dalam PRK P.212 Sibu ini. Penyenaraian nama-nama bakal calon DAP ini telah menenggelamkan bakal calon PKR yang disebut-sebut untuk bertanding pada PRK P.212 Sibu.

Sepanjang 2 minggu itu juga DAP yang diketuai Pengerusinya DAP Sarawak, Wong Ho Leng sentiasa bercakap tentang kelebihan bakal-bakal calon DAP dalam usaha menarik perhatian pengundi Cina. Ketika PRK P.94 Hulu Selangor sedang dalam masa genting, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sempat terbang ke Sibu dan mengadakan perbincangan untuk menubuhkan Pakatan Rakyat Sarawak.

Perbincangan dan kata sepakat telah diambil dan persetujuan telah dimuktamadkan yang mana Pakatan Rakyat Sarawak ditubuhkan secara ‘lisan’ sahaja kerana masih belum berdaftar. Selain PKR, DAP dan PAS, SNAP juga telah dijemput untuk menyertai Pakatan Rakyat Sarawak bagi mengukuhkan Pakatan. Sebelum ini, SNAP yang merupakan parti politik terkuat di Sarawak dan pernah menganggotai BN dilihat kurang menonjol disebabkan pengaruh PKR yang semakin membesar sehingga telah menenggelamkan SNAP. Untuk tidak menghampakan SNAP dan terjadinya pertandingan 3 atau lebih seperti dalam Pilihan Raya DUN 2006, maka ketiga-tiga parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung itu telah menjemput SNAP menyertai mereka.

Ketika ramai penduduk Sibu dan pemerhati politik menunggu siapakah calon Pakatan Rakyat Sarawak yang akan diangkat menjadi wakil pembangkang, Anwar Ibrahim telah ‘mengejutkan’ pengundi dari ‘tidur’ dengan mengumumkan Wong Ho Leng dari DAP sebagai calon Pakatan Rakyat Sarawak. Alasannya mudah, telah mempunyai nama, pengikut dan lantang menyuarakan permasalahan rakyat. Apakah tujuan Wong Ho Leng yang sebelum ini kerap melaung-laungkan DAP akan mengketengahkan calon muda yang berpotensi tinggi? Mungkin sekadar untuk memaklumkan bahawa bakal-bakal calon DAP itu hanya sebagai pelapis yang masih belum bersedia dan kurang pengalaman?

Pengumuman calon DAP, Wong Ho Leng sebagai calon untuk PRK P.212 Sibu dilihat sebagai ‘tamak kuasa’ walaupun alasannya atas kesepakatan parti-parti pembangkang lain. Pemilihan beliau juga secara langsung telah menutup ruang kepada pemimpin-pemimpin muda DAP yang berpotensi untuk diketengahkan.

Walau apapun yang berlaku, DAP sebenarnya lebih cenderung untuk merampas P.212 Sibu ini berbanding mahu mengetengahkan pemimpin muda. Berbeza dengan BN yang mengambil sikap berani dalam mengetengahkan pemimpin muda yang sebelum ini dianggap ‘rumah orang tua’ dan seterusnya memberi pengalaman kepada pemimpin muda dalam SUPP. Sebaliknya, DAP yang masih mengekalkan ‘rumah orang tua’ kerana mencalonkan pemimpin yang telah kalah dan juga ‘orang tua’.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger