Wednesday, May 5, 2010

PKR MENGALAH SEBELUM BERLAWAN, DAP TUNJUK TARING

Tinggal beberapa hari sahaja lagi masa penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) P.212 Sibu akan berlangsung yang dijadualkan pada 8 Mei 2010. Pada 16 Mei 2010, masa pengundian bagi menentukan calon pilihan rakyat Sibu bagi P.212 Sibu akan terjawab dan dalam tempoh tersebut calon-calon bertanding akan berkempen untuk menarik perhatian pengundi-pengundi.

Mengimbau keputusan pilihan raya P.212 Sibu pada 2008, mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew telah ditentang hebat oleh calon DAP, Richard Wong Ho Leng dan calon PKR, Lim Chin Chuang yang berkesudahan BN menang dan DAP serta PKR tersungkur.

Sepanjang pemerintahan mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew, Sibu yang suatu ketika merupakan sebuah ‘tempat pertemuan peniaga’ telah berkembang pesat dan membangun serta diiktiraf sebagai sebuah bandar semasa pemerintahan BN. Usaha dan keringat mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew ini pastinya memberi manfaat kepada penduduk bandar Sibu yang menikmati pembangunan yang berterusan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, PKR telah meletakkan calonnya hingga menyebabkan pertandingan 3 penjuru dan pada PRK ini, PKR ‘terpaksa’ mengalah bagi memberi ruang kepada calon DAP yang juga merupakan calon yang sama sebelum ini ketika menghadapi YB Datuk Robert Lau Hoi Chew. Walaupun kalah pada PRU 2008, namun calon DAP Richard Wong Ho Leng sekali lagi telah diangkat oleh Pakatan Rakyat untuk menghadapi calon BN.

PKR sebelum ini menegaskan calon Pakatan Rakyat untuk PRK P.212 Sibu seharusnya diberi kepada mereka. Ini disebabkan DAP telah banyak kali melawan BN dan dilihat tidak mampu menyaingi BN dan dalam masa yang sama mempunyai rekod kekalahan yang teruk yang berterusan. Untuk membuang badi ini, DAP sepatutnya melepaskan ‘kerusi’ ini kepada PKR yang sekarang ini mempunyai pengikut yang bertambah.

Seperti DAP, PKR juga mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan pada PRK P.212 Sibu yang akan berlangsung ini. Ramai berpendapat PKR mampu untuk mendapatkan sokongan sekiranya dibenarkan bertanding pada PRK P.212 Sibu ini. Walau bagaimanapun, atas nama kesepakatan PKR sanggup melepaskan potensi mereka untuk mengasah taringnya di Sibu ini kepada DAP yang dianggap sudah hilang taringnya.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger