Saturday, September 25, 2010

JASA: MEMIMPIN PENDAPAT RAKYAT

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada hari ini telah berjaya menapakkan ‘dirinya’ sekukuh dengan jabatan dan agensi lain dalam masyarakat berlandaskan peranannya ‘memimpin pendapat rakyat’. Usaha JASA sebagai penghubung terus kepada masyarakat dalam apa jua keadaan telah memberi ruang kepada rakyat untuk terus mendampingi JASA.

Jabatan Hal Ehwal Khas

Ketelusan hati pegawai-pegawai JASA untuk terus mendampingi rakyat tidak perlu dipersoalkan. Nun jauh di hujung kampung mahupun di hujung daerah serta bahagian di Sarawak, JASA akan terus mencurahkan baktinya demi mendengar dan mengamati permasalahan rakyat untuk disalurkan terus kepada pihak berwajib. Atas kapasiti itu, JASA terus dihormati dan akan terus mendampingi rakyat.


Sejarah Latar Belakang JASA

JASA? Apakah JASA dan siapakah JASA? Itulah persoalan yang hendak dikemukakan oleh penulis yang sangat popular dengan kelantangannya mencaci, menghentam dan menabur fitnah dalam setiap tulisannya di dalam laman blognya. JASA dahulunya dikenali sebagai BHEK atau Bahagian Hal Ehwal Khas, telah ditubuhkan pada 11 Mei 1960 (selepas merdeka dan sebelum pembentukan negara Malaysia).

Pastinya, penubuhan awal BHEK ini adalah untuk memelihara dan mempertahankan politik dan Kerajaan Perikatan. Ketika itu, selepas merdeka 1957, Persekutuan Tanah Melayu masih lagi muda dan memerlukan banyak tanggungjawab untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar kukuh. Ekoran itu, penubuhan BHEK ketika itu sangat relevan demi memelihara kestabilan politik.

Selain tanggungjawab beratnya dalam memelihara dan mempertahankan politik dan Kerajaan, BHEK juga berperanan penting dalam:

1. Memberi kesedaran dan kefahaman yang berkualiti, tepat dan jelas dalam aspek siasah dan
agama.
2. Menyediakan laporan maklum balas dengan tepat, semasa dan sahih mengenai isu-isu siasah
dan agama.
3. Menyediakan bahan-bahan penerbitan dan multimedia yang bermaklumat semasa mengenai
siasah dan agama.
4. Menyedia dan memberi khidmat kepakaran komunikasi bersemuka kepada masyarakat.
5. Memberi khidmat sokongan yang berkualiti dalam aspek kewangan dan sumber manusia.
6. Bertindak atas prinsip `Kebenaran Terserlah Negara Cemerlang` dalam melaksanakan tugas.

Pada hari ini, JASA telah meniti kukuh ke arah landasan yang betul dalam mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia berteraskan prinsip Rukun Negara. Berteraskan misi JASA ke arah:

1. Memperkukuhkan kestabilan politik negara dengan mendapatkan sokongan rakyat terhadap
Kerajaan melalui gagasan 1Malaysia;
2. Mendorong dan memimpin pendapat positif rakyat (leading public opinions) terhadap
Kerajaan melalui pendekatan bersepadu;
3. Menjadi perantara hubungan timbalbalik (reciprocity) di antara Kerajaan dan rakyat Malaysia
dalam dan luar negeri; dan
4. Meningkatkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara.

Sumber: http://www.jasa.gov.my/

Gagasan 1Malaysia

Pemimpin-pemimpin Kerajaan sentiasa mahukan setiap permasalahan rakyat perlu diambil perhatian dan diselesaikan mengikut kemampuan. Tiada satu pun tempat di dunia ini yang tiada mempunyai masalah dan setiap permasalahan akan terus diberikan perhatian.

Gagasan 1Malaysia

Konsep ‘rakyat didahulukan’ yang merupakan dasar dan dijadikan pegangan Perdana Menteri dalam pentadbirannya telah berjaya membuka mata banyak pihak. Atas sebab itulah, pihak-pihak yang dengki itu akan sentiasa menunggu mangsa untuk diterkam dan sentiasa tidak tidur lena ekoran penerimaan hebat rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia.

Malah, mereka sentiasa menunggu peluang dan mencari ruang untuk terus memburukkan Gagasan 1Malaysia yang ternyata telah menjadi ancaman terhadap gesaan mereka untuk berubah dan Malaysia Baru.

Dalam konteks Sarawak, Perdana Menteri secara terang-terangan tanpa lampu suluh mahupun pelita minyak tanah telah menjelaskan bahawa rakyat Sarawak dan Sabah telah lama mengamalkan 1Malaysia. Bagaimana Sarawak yang didiami lebih daripada 29 suku kaum dapat hidup aman dan damai dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Kerajaan Sarawak yang diketuai Pehin Seri Taib Mahmud? Itulah persoalan yang sering ditimbulkan mereka yang berfikiran politik sempit dalam ketika menghentam pemerintahan Ketua Menteri Sarawak.

Dengan masyarakat Iban yang menjadi penghuni majoriti Sarawak dan didiami masyarakat Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu telah berjaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang dihormati di Malaysia dan di Kepulauan Borneo. Tiada persengketaan kaum dan tiada permusuhan kaum telah membawa Sarawak ke arah sebuah negeri yang sangat berjaya khususnya dalam menjayakan semangat 1Malaysia.

Kepelbagaian Kaum di Malaysia

Pada hari ini, perpaduan yang telah lama dikecapi ini sentiasa mendapat ancaman daripada pihak-pihak yang berkepentingan untuk menakluk negeri secara ‘kotor’ dengan melakukan pelbagai cara dan tindakan di luar batasan manusia. Apa yang paling sedih sekali mereka sanggup menjadikan sentimen ‘kaum’ dan ‘bangsa’ sebagai senjata mereka untuk meraih simpati tatkala permainan itu pastinya mengundang gunung berapi yang mampu meletuskan laharnya pada bila-bila masa. Mereka ini tidak kisah asalkan matlamat mereka tercapai dengan berpaksikan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Kerajaan sentiasa dan akan terus mendampingi rakyat tanpa mengira masa pilihan raya ataupun tidak. Peranan JASA dalam konteks ini sangat diperlukan terutama dalam memberikan kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya toleransi dan bertolak ansur dalam hidup masyarakat majmuk. Kepelbagaian pegawai-pegawai JASA yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu dilihat sebagai contoh terbaik kehidupan rakyat Sarawak. Tidak kira apa agama, bangsa dan warna kulit, tugas dan tanggungjawab untuk semua rakyat akan terus menjadi pegangan dalam setiap tugasannya.

Penerimaan rakyat Sarawak terhadap JASA secara langsung telah meningkatkan populariti jabatan dan sekaligus memastikan perkhidmatan yang disumbangkan berkualiti dan memenuhi pendapat rakyat.

Menjadi kelaziman bahawa setiap jabatan mahupun agensi yang berjaya bertapak di hati rakyat memiliki risiko yang tinggi. Kritikan membina menjadi pegangan dan landasan manakala kritikan menghina dan mencaci menjelaskan apa yang dilakukan JASA sebelum ini berjaya mencapai objektifnya dan tidak disenangi pihak-pihak tertentu.

Dalam merealisasikan hasrat dan saranan Perdana Menteri Malaysia, JASA akan terus memimpin pendapat rakyat dan menyokong Gagasan 1Malaysia.

1 komen:

  1. Salam bro, dek kerana ketelusan hati warga JASA untuk terus mendampingi rakyatlah maka ada pihak tertentu atau individu tertentu dalam kerajaan dn parti merasa rimas dan kurang senang.....

    Apatah lagi kalau ada dari kalangan warga JASA yang terpilih sebagai calon....... semakin meluat golongan ini melihat, pegawai JASA amat kurang disenangi jika dilihat sering berdampingan dengan kepimpinan kerajaan amahu parti....

    Kebanyakan masyarakat hanya melihat kepada satu dua pegawai JASA yang mungkin hidup bergaya, senang, malah ada yang menjadi usahawan, tetapi tetapi mereka tidak melihat ada yang langsung tidak dipedulikan selepas bersara.... merempat, mencari sesuap rezki menunggu mati.... mereka bukan seperti pesara kerajaan yang lain boleh mengharap wang pencen...sedangkan tugas dan tanggungjawab mereka semasa berkhidmat kekadang lebih daripada pemimpin atau wakil-wakil rakyat setempat...

    itulah nasib warga JASA... tahniah dengan artikel ini...

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger