Tuesday, November 9, 2010

PAKATAN PEMBANGKANG HURU-HARAKAN RAKYAT SARAWAK

Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya DUN Sarawak dan pastinya ketika ini ramai di kalangan ‘orang luar’ (pembangkang) datang dan bertandang ke Sarawak untuk pergi mendapatkan maklumat. Tidak kurang juga mereka datang untuk mencari tapak bagi mendirikan kem ketika menghadapi pilihan raya DUN Sarawak nanti.

Ketika ini ramai ‘orang luar’ di kalangan ahli-ahli parti pembangkang ‘berkeliaran’ di pelbagai kawasan terutama di luar bandar untuk memporak-perandakan masyarakat.


Sebelum ini, ketika PKR hangat dengan Pemilihan PKR 2010, ramai di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR Pusat datang ke Sarawak. Tujuannya adalah untuk mendapatkan sokongan daripada ahli, pemimpim dan cabang PKR di Sarawak bagi mendapatkan sokongan dan seterusnya mengundi mereka pada Pemilihan PKR 2010 yang sedang berlangsung sekarang.

Bayangkan dahulunya kawasan pedalaman di Samarahan tidak pernah didatangi pemimpin-pemimpin pembangkang, tetapi disebabkan Pemilihan PKR 2010 mereka datang beramai-ramai. Malah tidak segan silu membuat ceramah dan menghentam kerajaan. Namun, penduduk di Samarahan mengetahui apa yang kerajaan telah lakukan bagi membangunkan kawasan mereka dan ternyata ugutan dan dakwaan pemimpin pembangkang itu tidak sedikit pun melemahkan sokongan mereka terhadap kerajaan.

Kemenangan pembangkang di PRK Sibu telah membuatkan mereka bongkak dan ego kerana beranggapan mereka telah mendapat sokongan daripada rakyat Sarawak. Kemenangan sentiasa menjadi pemanis mulut pembangkang dalam setiap ceramahnya di Sarawak termasuk juga di Batu Sapi. Keputusan Batu Sapi yang memihak kepada BN telah menyebabkan keegoaan pembangkang tercalar.

Apakah selepas ini sokongan pembangkang di Sarawak akan berkurangan? Terpulanglah kepada rakyat Sarawak untuk membuat keputusan. Rakyat di Galas dan Batu Sapi telah menunjukkan keputusan positif terhadap kerajaan. Keputusan di Galas dan Batu Sapi menunjukkan rakyat terutama masyarakat Cina telah menerima BN.

Menjelang pilihan raya nanti, nescaya ramai lagi pemimpin-pemimpin pembangkang dari Semenanjung datang ke Sarawak untuk membuat markas dan seterusnya menabur fitnah bagi membuatkan rakyat benci terhadap kerajaan. Ketika sokongan terhadap pembangkang di Semenanjung dan Sabah telah berkurangan hingga menyebabkan pembangkang kalah dalam PRK Galas dan Batu Sapi, pembangkang pula mensasarkan Sarawak sebagai destinasi seterusnya.

“Kita tahu pilihan raya negeri bakal diadakan tidak lama lagi dan sekarang kita sudah mula nampak ‘orang luar’ cuba memasuki kampung-kampung untuk melakukan tindak-tanduk memperdayakan rakyat”.
YB Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Muara Tuang

Kehadiran ‘orang luar’ daripada kalangan pembangkang datang ke Sarawak dan menjelajah ke setiap ceruk kawasan bukannya membantu rakyat, tetapi hanya mahu memusnahkan perpaduan dan kehidupan rakyat di Sarawak.

“Saya percaya rakyat negeri ini terutama penduduk luar bandar akan sentiasa bersatu padu untuk meneruskan kesinambungan politik pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN,” katanya”.
YB Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Muara Tuang

Hasrat mereka datang ke Sarawak bukannya disebabkan mahu berjuang dan membela rakyat, tetapi sebaliknya mempunyai agenda tersendiri. Pentingnya agenda ini membuatkan mereka terpaksa turun ke Sarawak dan menyebarkan virus ini kepada rakyat agar membenci kerajaan. Perbuatan mereka ini diibarat seperti menangguk di air keruh.

Rakyat Sarawak harus segera menilai perjuangan yang telah dilaksanakan kerajaan BN selama ini. Apakah selama ini kerajaan tidak membela rakyat? Rakyat Sarawak perlu memahami aspirasi kerajaan untuk terus membangunkan rakyat samada di bandar dan luar bandar. Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger