Monday, April 4, 2011

KREADIBILITI CALON BN SARAWAK DITERIMA RAKYAT


Ihsan Rajahmas

Detik jam 5.10 petang, bersamaan 4 April 2011, Isnin, BN Sarawak mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding dalam Pilihan Raya DUN Sarawak. BN Sarawak dianggotai PBB, SUPP, PRS dan SPDP.

Pengumuman calon-calon BN Sarawak bertempat di Ibu Pejabat PBB Sarawak dihadiri kesemua calon BN dari PBB, SUPP, PRS dan SPDP, dan dibuat dalam suasana kekeluargaan, tidak seperti Pakatan Pembangkang yang mengikut telunjuk dan haluan masing-masing.

Sebelum ini, PKR yang dijadualkan mengumumkan senarai calonnya yang berjumlah 52 orang itu terpaksa dibatalkan atas dakwaan SNAP tidak memberikan jawapan berhubung pembahagian kerusi. SNAP semalam telah mengumumkan keputusan muktamad untuk bertanding di 27 kerusi dan bertekad untuk tidak berkompromi dengan PKR. Segala rundingan dan perbincangan dengan PKR sudah tertutup rapat.

Pertelingkahan atas sebab pembahagian kerusi DUN Sarawak dalam Pakatan Pembangkang juga berlaku ke atas PKR dan DAP. PKR yang meyakini bahawa mereka merupakan parti dominan dalam Pakatan Pembangkang kini terpaksa akur ke atas kekejaman DAP yang cuba meningkatkan jumlah kerusi dengan mengambil kerusi DUN yang diidamkan PKR. Terbaru, DAP telah merampas ‘hak’ PKR di DUN Dudong sehingga menyaksikan PKR terpaksa gigit jari apabila kepimpinan PKR ‘menyerahkan’ kerusi itu kepada DAP. Segala usaha dan penat lelah PKR selama ini hanyalah sia-sia sahaja.

Berbeza keadaannya dengan BN Sarawak apabila pengumuman senarai calonnya dibuat secara tertib dan mengikut aturan dalam suasana yang aman dan tenteram. Pengumuman yang dibuat Ketua Penerangan PBB dibuat dalam suasana yang gembira dan diyakini memberikan gambaran kemenangan kepada BN Sarawak.

Dalam pengumuman itu, PBB yang membariskan 35 calon telah menampilkan 10 muka baru yang diyakini mampu memberikan kemenangan mutlak kepada PBB seperti mana yang telah ditunjukkan dalam Pilihan Raya DUN Sarawak 2006. Penampilan muka-muka baru BN dalam PBB adalah berasaskan keperluan dan kehendak rakyat yang mahukan suara baru bagi mewakili mereka dalam DUN Sarawak.

Demikian juga dengan SUPP yang menampilkan 7 calon baru bagi merampas kembali kerusi DUN yang disandang DAP. Sebelum ini, dalam Pilihan Raya DUN Sarawak 2006, DAP telah memenangi di kebanyakan kerusi yang ditandingi SUPP. Dan, pada pilihan raya kali ini, SUPP berusaha dan mempertingkatkan tekanan untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi memenangi hati rakyat khususnya kaum Cina yang dahagakan bantuan kerajaan.

PRS yang menampilkan 2 muka baru bagi merampas kembali DUN Ngemah yang sekarang ini diwakili PCM dan DUN Pelagus bagi mengekalkan kemenangan BN yang sebelum ini diwakili PRS. Sebelum ini, DUN Pelagus diwakili Larry Sng yang dalam pengumuman itu tidak disenaraikan PRS.

SPDP pula masih mengekalkan muka-muka lama yang dilihat masih diterima rakyat. Calon-calon SPDP yang dikekalkan pada pilihan raya kali ini berpotensi untuk terus mengekalkan kemenangan dan meningkatkan sokongan. Bagaimanapun, persoalan timbul di kerusi DUN Ba’kalalan apabila calon ‘misteri’ diumumkan Ketua Penerangan PBB.

Pengumuman itu telah menimbulkan tanda tanya di kalangan wartawan yang hadir dan menimbulkan pelbagai reaksi rakyat Sarawak terhadap siapakah calon misteri itu? Calon misteri ini dijangka akan menentang Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian di DUN Ba’kalalan.

Ramai yang berpandangan calon misteri itu merupakan penyandang DUN Pelagus. Beliau yang tidak berparti dan berjawatan menteri muda dijangka akan terus dicalonkan memandangkan masa depan politiknya akan terus menyinar.

Secara keseluruhannya, BN Sarawak akan bertanding di 71 kerusi DUN Sarawak bagi mengekalkan kerajaan yang sedia ada bagi menjamin pembangunan Sarawak yang kian pesat membangun. Lihat blogger kuchingitam untuk mendapat senarai penuh calon-calon BN Sarawak. 

Transformasi BN Sarawak dalam mengetengahkan calon-calon baru perlu diyakini kerana pemilihan mereka adalah berasaskan suara rakyat. Justeru, adalah tidak menghairankan Pakatan Pembangkang harus berwaspada terhadap kebangkitan BN dalam mengekalkan kerajaan dan merampas kembali kerusi DUN yang terlepas sebelum ini serta meningkatkan majoriti kemenangan.

Kerajaan Bersama Rakyat, Sejiwa Senada

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger