Saturday, April 23, 2011

RAGAM POLITIK SARAWAK SELEPAS PILIHAN RAYA DUN SARAWAK 2011



Pilihan Raya DUN Sarawak telah meninggalkan banyak kenangan dan suka duka politik Sarawak. Sepanjang Pilihan Raya Sarawak, inilah pilihan raya paling sengit pernah dihadapi Sarawak semenjak kemasukan Sarawak dalam Malaysia. Bagaimanapun, Sarawak mengalami nasib yang baik apabila tidak mengalami tsunami politik seperti yang pernah berlaku pada tahun 2008.

Kejayaan BN Sarawak mendapat kuasa majoriti 2/3 dan seterusnya untuk mengekalkan kekuasaan BN di Sarawak membuktikan rakyat Sarawak selesa dengan kerajaan yang sedia ada sebelum ini. Walaupun BN Sarawak ‘teruk’ dihentam Pakatan Pembangkang daripada pelbagai sudut namun suara rakyat yang mahukan BN kekal memerintah membuktikan dasar BN selama dalam memajukan Sarawak dipercayai sepenuhnya rakyat Sarawak.

Sedikit keresahan apabila komponen BN yang mewakili kaum Cina, SUPP kalah teruk. SUPP hanya berjaya memenangi 6 daripada julah keseluruhan kerusi yang ditandinginya. Presiden SUPP, Datuk Patinggi Dr George Chan yang bertanding di DUN Pujut juga tewas kepada calon DAP yang juga muka baru dalam politik. Paling menghangatkan keadaan apabila kesemua DUN di kawasan Bandar Kuching berjaya dimenangi DAP dengan menidakkan kekuasaan BN-SUPP. Kejayaan DAP yang di DUN Batu Kawah dan DUN Pending ternyata memberikan tekanan kepada SUPP.   


Diwar-warkan sebelum ini, calon BN-SUPP di DUN Pending, Prof Dr Sim Kui Hian yang mempunyai personaliti menarik dan disenangi ramai rakyat Sarawak yang dijangka menang dan mampu merampas DUN Pending juga kalah ditangan Violet Yong, penyandang DUN Pending. Begitu juga calon BN-SUPP di Batu Kawah, Dr Tan Joo Phoi tewas ditangan calon DAP, yang merupakan bekas Pembantu Khas Violet Yong dan pertama kali bertanding dalam politik Sarawak. Apakah sebenarnya mesej yang hendak diberikan pengundi Cina Sarawak terhadap BN-SUPP? Apakah mereka mengamalkan undi perkaumanan?

Kebanyakan DAP bertanding di DUN yang majoritinya pengundi dan penduduknya terdiri daripada Cina serta menentang SUPP di kesemua DUN dalam Pilihan Raya DUN Sarawak. Melihat kepada keadaan ini, apakah pengundi Cina sememangnya mahukan kuasa supaya suara mereka didengar dalan DUN Sarawak? Kenapa pula pengundi Cina tidak mahu melantik wakil mereka dalam kabinet Sarawak dengan memilih wakil BN-SUPP bagi mewakili mereka? Apakah sentimen perkauman yang dibawa kedua-dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng ke Sarawak telah membakar Sarawak dan mahukan Sarawak seperti Pulau Pinang yang mana kaum Cina berkuasa dan menidakkan kaum majoriti dan Bumiputera?

Kejayaan DAP memenangi banyak kerusi DUN Sarawak membuktikan rakyat Sarawak menolak kepimpinan BN-SUPP. Manakan tidak, DAP yang ramai meletakkan calon muda bagi menentang otai-otai BN-SUPP berjaya membuktikan rakyat Sarawak menolak SUPP. Kebanyakan calon muda yang diketengahkan DAP ini merupakan penyertaan pertama kali dalam politik Sarawak walaupun penglibatan mereka telah lama dengan menyandang Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen dan Violet Yong. Bagaimanapun, ada suara-suara sumbang menyatakan DAP letak sahaja calon yang berumur 12 tahun, rakyat pasti akan mengundi DAP.

Selesai Pilihan Raya DUN Sarawak, BN-SUPP bergolak dalam memilih calon yang akan menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Dengan hanya 2 calon SUPP sahaja yang menang yang mewakili kaum Cina berbanding 4 calon SUPP yang diwakili Bumiputera menang dalam Pilihan Raya DUN Sarawak, ternyata mengundang kesukaran buat SUPP untuk memilih calon yang sesuai ke jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Kenyataan SUPP Pusat untuk tidak mahu memilih YB Bawang Assan, Dato’ Sri Wong Soon Koh ke jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak ternyata menampakkan perpecahan di kalangan pemimpin SUPP. Dato’ Sri Wong Soon Koh merupakan ketua SUPP Bahagian Sibu. Seorang lagi calon SUPP, Datuk Lee Kim Shin yang memenangi DUN Senadin dikatakan bukan Majlis Tertinggi SUPP.


Perdebatan calon yang sesuai ke jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak masih belum ada kesudahannya. Ura-ura sekiranya SUPP tidak ada jawapan ke atas calon yang sesuai mewakili kaum Cina ke jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, maka calon Bumiputera daripada SUPP sewajarnya diangkat ke jawatan tersebut. Ini disebabkan selain mencatat keputusan 100% memenangi kesemua 4 kawasan DUN, undi kaum Bumiputera ternyata meningkat. Peratusan meningkatnya undi Bumiputera ternyata memberikan gambaran bahawa jaminan yang dibawa BN dalam membangunkan Sarawak diterima rakyat Bumiputera berbanding masyarakat Cina yang sebelum ini telah senang dan mewah dengan pembangunan di kawasan bandar.


Dalam pada itu, keputusan DUN Senadin yang dimenangi calon BN-SUPP, Datuk Lee Kim Shin dengan majoriti kecil telah mengundang kekecewaan calon PKR. Sambil mempertikaikan keputusan SPR, calon dan penyokong PKR menyatakan rasa tidak puas hati dan mahu membawa kes ini ke mahkamah. SPR dalam satu kenyataan, SPR mempertahankan tindakan pegawainya dan menegaskan PKR boleh memfailkan kes ini di mahkamah bagi mencabar keputusan SPR. Pegawai SPR Senadin sebelum itu menolak permohonan calon dan ejen Pilihan Raya PKR untuk mengira semula undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Tindakan Timbalan Ketua Pemuda PBB Kidurong, Saufi Sari keluar parti hanya kerana tidak puas hati dengan kenyataan dan pendirian Ketua Pemuda PBB Sarawak, Datuk Fadillah Yusof. Kenyataan Suafi Sari berhubung kenyataannya yang bertindak keluar parti “kita di cawangan Kidurong telah dimanipulasi oleh sebuah parti yang tidak bertanggungjawab”. Apakah yang dimaksudkan ‘dimanipulasi’ dan ‘parti yang tidak bertanggungjawab’?


Ternyata tindakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PBB Kidurong bukan sahaja mengeruhkan politik Sarawak bahkan juga sikap yang ditunjukkan menggambarkan kepentingan individu. Kenapa perlu mengambil jalan mudah dan tergesa-gesa hanya kerana tidak setuju dengan kenyataan Ketua Pemuda PBB? Kenapa tidak diadakan perbincangan antara muka bagi mencari jalan penyelesaian? Nampaknya, tindakan yang diambil bekas Timbalan Ketua Pemuda PBB Kidurong ini cetek dan tidak matang dalam berpolitik.

Yang pasti, politik Sarawak tidak pernah kesunyian dengan pelbagai kontroversi dan isu. Kontroversi ini banyak mendatangkan kemusnahan dan berbanding jalan pennyelesaian. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger