Wednesday, May 18, 2011

PEMUDA PBB ZON KUCHING BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP FRANCIS PAUL SIAH





Jam 4.00 petang, rombongan Pemuda PBB Zon Kuching telah membuat laporan polis terhadap Francis Paul Siah mengenai isi kandungan ugutan beliau untuk mengadakan demonstrasi rakyat secara besar-besaran sekiranya Ketua Menteri Sarawak tidak meletak jawatan sehingga 13 Ogos 2011 nanti.

Rombongan Pemuda PBB Zon Kuching telah diketuai oleh Wan Hamzah bin Wan Paie selaku Ketua Pemuda Zon Kuching yang diiringi bersama 10 orang Ketua Pemuda PBB dari seluruh Kuching dan lebih kurang 50 orang ahli Pemuda PBB serta pihak media tempatan dan nasional.


Pemuda PBB Zon Kuching meminta agar pihak polis membuat siasatan ke atas perkara-perkara berikut;

1.         Francis Siah mempunyai niat untuk mengadakan demonstarsi jalanan besar besaran ala Timur Tengah yang boleh mengancam ketenteraman awam di Sarawak. Dalam artikel tersebut, beliau menyatakan bahawa rancangan tersebut akan diadakan secara aman, namun di dalam perenggan terakhir artikel tersebut beliau menyatakan sekiranya terdesak beliau akan melakukan apa sahaja untuk memaksa Ketua Menteri Sarawak berundur. Ini memberi gambaran bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadikan perhimpunan itu sebagai momentum dalam menghuru-hara Sarawak. Ini boleh dianggap sebagai subversive dan menghasut rakyat untuk memberontak dan ini adalah satu kesalahan besar di sisi undang undang negara.

2.         Pemuda PBB Zon Kuching juga mahu pihak polis menyiasat apakah Francis Siah menerima bantuan dana dari negara Barat yang ingin melihat Malaysia menjadi padang jarak padang terkukur seperti yang dilakukan oleh mereka di Timur Tengah. Ini kerana perancangan besar Francis Siah ini melibatkan jumlah dana yang besar, dan sekiranya dana ini wujud dan benar dari pihak negara barat maka siasatan haruslah dibuat adakah Francis Siah ini menjadi perkakas negara Barat di Sarawak.

3.         Tindakan Francis Siah ini menghina sistem demokrasi dan menghina suara rakyat Sarawak yang dengan jelas mahu Ketua Menteri Sarawak dan BN memimpin semula Sarawak. Tindakan ini jelas menolak dan menghina asas perlembagaan negara.

4.         Francis Siah juga menghasut orang awam untuk membenci SPR dengan menyatakan pilihan raya yang lepas telah berjalan dengan tidak benar dan tidak tulus. Ini bermakna beliau menghasut rakyat Sarawak untuk membenci agensi yang dipayungi secara langsung oleh kuasa Yang Dipertuan Agong lebih lebih lagi keputusan pilihanraya telah pun diperkenankan melalui pengwartaan baru baru ini.


Atas laporan polis ini maka Pemuda PBB Zon Kuching menyatakan 3 pendirian yang berikut;

1.         Pemuda PBB Zon Kuching akan menjadi banteng kukuh mempertahankan kepimpinan Ketua Menteri Sarawak dan Francis Siah perlulah berhadapan dengan Pemuda PBB dahulu sebelum mencabar Ketua Menteri

2.         Pemuda PBB Zon Kuching juga menyeru semua rakyat Sarawak agar memboikot dan menggagalkan perancangan jahat Francis Siah. Ini adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan dan kestabilan negeri Saeawak akan terus terpelihara.

3.         Pemuda PBB Zon Kuching memberi masa selama 7 hari untuk Francis Siah menarik balik artikel itu, sekiranya tidak maka kami akan membawa laporan polis ini kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan menuntut agar tindakan yang keras diambil terhadap Francis Siah demi kebaikan seluruh rakyat negeri Sarawak.

Kredit kepada Rajahmas

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger