Friday, July 8, 2011

BERKUATKUASA JULAI 2011 ASTRO TELAH NAIKKAN HARGA DAN BEBANKAN RAKYAT MALAYSIA




“Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mengancam menggerakkan hampir 2.5 juta ahli gabungannya memboikot stesen televisyen berbayar itu melalui kempen No To Astro.”


Dalam keghairahan kerajaan dan rakyat Malaysia menangani permasalahan Perhimpunan Haram BERSIH 2.0 yang dijadualkan 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur, tindakan ASTRO yang melanggar arahan Kabinet berhubung kenaikan harga yuran langanan telah terlepas pandang. Dalam minggu ini ramai di kalangan rakyat Malaysia akan dan telah menerima surat makluman ASTRO berhubung PERUBAHAN KE ATAS LANGGANAN ASTRO ANDA.


Berkuatkuasa bulan Julai, kesemua pelanggan ASTRO akan mengalami kenaikan harga langganan bulanan seperti yang telah diumumkan sebelum ini. Walaupun langkah ASTRO ini telah mendapat perhatian Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan dibawa dalam perdebatan dalam Dewan Rakyat, namun ASTRO sebagai pengendali tunggal sistem tv berbayar TETAP meneruskan usahanya menaikkan harga pakej langganan bulanan.

Mahu atau tidak. Suka atau tidak. Rakyat Malaysia yang melanggan ASTRO tetap akan menerima kenaikan harga pakej langganan walaupun hakikatnya perkhidmatan yang ditawarkan adalah jauh lebih teruk dan sangat tidak berbaloi.

Sebelum ini ASTRO telah menggantikan kad pintarnya kepada ‘gold kad’ yang kononnya mampu memberikan perkhidmatan yang baik semasa hari hujan. Hakikatnya kesannya masih sama malah lebih teruk apabila hujan mula turun. Sedangkan harga langganan ASTRO tidak pernah turun.

Pengenalan perkhidmatan ASTRO Beyond bukannya sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah yang sedia ada malah lebih memburukkan harga ASTRO Beyond jauh lebih mahal disebabkan pengenalan siaran HD. Di kala hari hujan, kesan yang sama juga berlaku ke atas ASTRO Beyond sehingga menyebabkan siaran sentiasa tergendala ketika hari hujan.

Kemunculan ASTRO suatu ketika dahulu sangat mengujakan rakyat Malaysia kerana dapat menyiarkan rancangan yang menarik terutama membabitkan sukan kegemaran ramai bola sepak. Begitu juga tayangan filem yang ditayangkan tanpa iklan sangat membuatkan rakyat Malaysia memilih ASTRO sebagai saluran hiburan selapas tayangan filem di pawagam. Namun, semuanya telah jauh berubah apabila keuntungan mendahului kepuasan pelanggan. Dengan itu muncullah beberapa iklan rancangan terbitan ASTRO dan iklan-iklan yang berbentuk komersial yang memberikan keuntungan. Ini yang membuatkan rakyat Malaysia semacam ditipu kerana tindakan ASTRO telah keluar daripada slogannya ‘menghiburkan anda sekeluarga’.



KUALA LUMPUR – Astro melakukan beberapa pelarasan kepada pakej-pakej  yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai 2011. Bagaimanapun, Pek Famili  dikekalkan pada harga  RM37.95 sebulan (atau hanya RM 1.30 sehari) untuk  akses ke 38 buah saluran.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro di sini hari ini, bergantung kepada pakej pilihan pelanggan, sesetengah pelanggan mungkin akan mengalami kenaikkan harga sekitar  RM1 hingga RM15.00 sebulan.

“Terdapat penjimatan dari RM4 hingga RM14.95 sebulan dalam yuran  langganan mereka. Pelarasan berkenaan adalah seiring dengan komitmen  Astro untuk terus menawarkan nilai, pilihan dan perkhidmatan yang  berkualiti kepada para pelanggan,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, pelanggan Astro kini boleh menikmati nilai wang  yang lebih baik dengan pelancaran Super Packs yang telah direka khas  bagi menawarkan pakej Astro yang terbaik termasuk perkhidmatan HD dan  PVR.
“Untuk hanya  RM125, para pelanggan boleh memanfaatkan perkhidmatan  HD dan rakaman, 3 pilihan pek mini, sukan, movies, Mustika dan Astro  Tayangan Hebat sambil membuat penjimatan yang hebat sehingga RM45.85,”  katanya.
Para pelanggan boleh menikmati lebih banyak program hiburan yang  menarik pada masa akan datang, seperti acara sukan ditawarkan dalam HD  termasuk  Rugby World Cup 2011, London Olympics 2012, Barclays Premier  League,  EURO 2012 dan Copa America Argentina 2011 dalam teknologi  definisi tinggi.
Cadangan ASTRO untuk menaikkan harga pakej langganannya sehingga RM15.00 telah mendapat banyak bantahan dan telah dibawa ke mesyuarat kabinet. Keputusannya, Kabinet TIDAK membenarkan ASTRO menaikkan yuran langganan selagi tidak mendapat kelulusan SKMM.


Kabinet larang Astro naik yuran

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan stesen televisyen berbayar, Astro menaikkan yuran langganan selagi tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, untuk itu SKMM diarah mengambil tindakan sewajarnya dan memaklumkan kepada Astro supaya tidak meneruskan cadangan kenaikan yuran langganan tersebut.

Menurut beliau, jika Astro tetap meneruskan tindakan menaikkan yuran berkenaan, SKMM perlu bertindak sama ada mengenakan kompaun atau sebarang denda yang dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang.

"Astro tidak sewajarnya meningkatkan apa- apa tarif (yuran). Perkara ini telah dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini dan bersetuju dengan pandangan SKMM untuk tidak membenarkan kenaikan sebarang tarif kecuali diluluskan SKMM.

"Setakat ini undang-undang tidak dipatuhi dan notis (kenaikan yuran) Astro bercanggah dengan undang-undang.

"Justeru kita meminta SKMM ambil tindakan sewajarnya dan memaklumkan kepada Astro supaya tidak meneruskan apa-apa kenaikan sehingga satu masa sesuai untuk dilaksanakan,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma TV, Angkasapuri, dekat sini hari ini.

Astro sebelum ini dilaporkan bakal membuat beberapa pelarasan pakej yang ditawarkan kepada lebih tiga juta pelanggannya dengan menyaksikan penetapan caj baru selain tawaran penjimatan.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan pelbagai pihak terutama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mengancam menggerakkan hampir 2.5 juta ahli gabungannya memboikot stesen televisyen berbayar itu melalui kempen No To Astro.

Rais berkata, kerajaan berpendapat semua stesen radio dan televisyen berbayar tidak harus menaikkan yuran atau tarif buat masa ini kecuali mendapat kebenaran.

Jelas beliau, kebenaran yang diberikan adalah selepas mengambil kira persekitaran ekonomi dan kepentingan negara daripada pelbagai sudut.

"Sebagai menteri, saya mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dan tidak setuju untuk memberi sumbangan. Kalau ada yang meminta (sumbangan), laporkan kepada SKMM atau polis. Kementerian Dalam Negeri perlu bertindak.

"Mereka yang mahu meneruskan perhimpunan haram itu tidak mengendahkan langsung kemungkinan kita kehilangan ketenteraman awam atau terjejasnya keselamatan,'' tambahnya.

Sementara itu, Astro dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima keputusan Kabinet itu.

Sehubungan itu, pihak Astro akan berunding dengan SKMM berhubung pelarasan harga baru tersebut berpandukan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat-syarat pelesenan.


Surat Makluman ASTRO "PERUBAHAN KE ATAS LANGGANAN ASTRO ANDA


Pastinya semua pelanggan ASTRO telah menerima surat pemberitahuan mengenai ‘PERUBAHAN KE ATAS LANGGANAN ASTRO ANDA’ yang bertarikh 9 Jun 2011. Penulis yang hari ini telah menerima surat makluman tersebut yang memberitahu yuran langgan sebelum ini berjumlah RM66.95 dengan pakej Family, 1 Mini dan Sukan telah naik menjadikan jumlah sebenarnya bernilai RM74.95. Bagaimananapun harga itu tidak termasuk harga cukai perkhidmatan sebanyak 6%.

Kehadiran surat ini telah mengetepikan arahan Kabinet yang mengarahkan ASTRO untuk tidak menaikkan harga yuran langganan.

Sebelum ini, ASTRO dalam kenyataan akhbarnya telah mengumumkan keuntungan bernilai RM 232.97 juta pada tahun berakhir Disember 2010.


KUALA LUMPUR 30 Mac - Astro All Asia Networks plc (Astro) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM232.97 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Januari 2010 berbanding kerugian bersih sebanyak RM529.18 juta pada tahun sebelumnya.

Apakah rasionalnya ASTRO boleh menaikkan harga yuran langganan sekiranya telah mencatat keuntungan berjuta-juta ringgit? Alasan kenaikan harga drama dan filem adalah sangat tidak berasas kerana kebanyakan filem yang ditayangkan di ASTRO adalah filem-filem lama dan ditayangkan berulang-ulang.


SKMM diminta tidak lulus pelarasan harga pakej Astro

KUALA LUMPUR 5 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta supaya tidak meluluskan permohonan stesen televisyen berbayar Astro untuk melakukan pelarasan harga terhadap pakej yang ditawarkannya kepada pengguna mulai 11 Julai ini.

Senator Datuk Mohd. Najeeb Abdullah berkata, ini kerana Astro mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi dan memperoleh sumber kewangan yang tetap.

"Saya difahamkan Astro mempunyai pelanggan lebih tiga juta orang dengan jumlah keuntungan yang berjuta-juta ringgit. Ternyata keuntungan ini sudah cukup membuktikan Astro mampu menanggung kos operasi siaran mereka.

"Apabila stesen ini membuat pelarasan harga, ia akan mendatangkan bebanan baru kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negara.

Sebelum ini Kabinet telah memutuskan bahawa Astro tidak boleh menaikkan tarif perkhidmatannya selagi ia tidak mendapat kebenaran daripada SKMM. - Bernama

Keputusan ASTRO mengutuskan surat ‘PERUBAHAN KE ATAS LANGGANAN ASTRO ANDA’ apakah telah menerima kelulusan SKMM?

Justeru, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan perlu mengambil tindakan rasional berikutan ramai pihak yang mempertikaikan tindakan ASTRO menaikkan harga yuran langganan mereka. Sekarang ini, rakyat bukan sahaja mengalami kenaikan harga barangan keperluan bahkan menerima kenaikan harga perkhidmatan tv berbayar. Apakah keuntungan ASTRO selama ini masih tidak mencukupi?

Sudah tiba masanya Kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen kepada pihak-pihak yang boleh memberikan perkhidmatan tv berbayar supaya dapat bersaing dengan ASTRO secara sihat. Ini secara langsung dapat memberikan keuntungan kepada rakyat Malaysia yang melanggannya seperti yang berlaku ke atas pengendali telco.

ASTRO harus melihat penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang selama ini bergantung harap dengan perkhidmatan ASTRO dalam mendapatkan maklumat dan hiburan melalui siaran tv satelit. Bergantung kepada hasil pertanian dan perikanan yang tidak seberapa, kenaikan harga yuran langganan ASTRO ini membuatkan penduduk di luar bandar semakin tertekan.

Dengan hampir kesemua rumah di Malaysia mempunyai siaran tv berbayar daripada ASTRO, menyebabkan ASTRO mencatat keuntungan yang besar. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tidak semua isi rumah yang melihat siaran tv berbayar ASTRO itu selama 24 jam sehari. Dengan anak-anak pergi ke sekolah, kesibukan suri rumah menguruskan rumah dan tanggungjawab di pejabat membuatkan masa di rumah untuk menonton tv adalah terhad dan minimum. Ini sangat tidak berbaloi dengan kadar bayaran yang dikenakan secara bulanan. Apatah lagi dengan kenaikan harga yuran langanan ASTRO mulai bulan Julai ini.

ASTRO harus menerima hakikat bahawa keuntungan selama ini adalah bergantung kepada pelanggannya iaitu pengguna. Kuasa pengguna sangat kuat. Sebagai pengguna adalah menjadi tanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung tindakan ASTRO menaikkan harga yuran langganan sebagai tidak munasabah walau apapun alasan.

Justeru, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebuayaan Malaysia dan SKMM perlu mengambil tindakan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger