Thursday, July 21, 2011

SURUHANJAYA DIRAJA PUTUSKAN TEOH BENG HOCK MATI DISEBABKAN MEMBUNUH DIRI



Setelah 2 tahun kes kematian Teoh Beng Hock dihakimi menerusi inkues dan suruhanjaya diraja, akhirnya pada 21 Julai 2011, jam 2.00 petang bertempat di Parlimen, suatu kenyataan rasmi telah diumumkan kepada orang ramai berhubung sebab kematian Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock telah didapati MEMBUNUH DIRI!

Berikut ialah kronologi kematian Teoh Beng Hock, 30, pegawai khas Exco Kerajaan Selangor dan siasatan yang dijalankan.

Tahun 2009:

16 Julai : Mayat Teoh Beng Hock ditemui pada 1.30 tengah hari di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.

22 Julai : Kabinet memutuskan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian.

22 Julai : Sebuah suruhanjaya diraja juga diwujudkan dengan terma-terma khusus iaitu meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

24 Julai : Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata inkues kematian akan dijalankan selama 15 hari bermula 29 Julai.

29 Julai : Prosiding inkues bermula pada pukul 9.20 pagi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas. Inkues yang ditetapkan selama 15 hari itu dijangka mengumpul keterangan daripada 77 saksi termasuk 28 pegawai SPRM, ahli kimia dan ahli patologi serta beberapa teman rapat Teoh Beng Hock.

29 Julai : Inkues ditangguhkan sehingga Rabu bagi memberi peluang kepada peguam Gobind Singh Deo, wakil keluarga Teoh Beng Hock, peguam Malik Imtiaz Sarwar bagi pihak kerajaan Selangor, dan wakil Majlis Peguam, meneliti dokumen yang baru diserahkan oleh pihak pendakwaan.

5 Ogos : Saksi pertama, pengawal keselamatan Siti Zabedah Yahya memberi keterangan.

19 Ogos : Mahkamah Koroner mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap kandungan sepucuk surat misteri yang mengandungi butiran berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

27 Oktober : Keluarga Teoh Beng Hockmengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah membenarkan mayatnya dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua.

Tahun 2010:

4 November : Prosiding inkues menyiasat kematian berakhir.

Tahun 2011:

5 Januari : Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock bukan disebabkan bunuh diri, homisid atau penglibatan pihak ketiga.

26 Januari: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan satu suruhanjaya diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen untuk menyiasat punca kematian, dan sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh Beng Hock.

14 Februari : Suruhanjaya memulakan prosiding.

10 Mei : Prosiding siasatan berakhir dengan seramai 70 saksi memberi keterangan termasuk majikan Teoh, Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, dan beberapa pegawai SPRM yang tidak dipanggil ketika inkues di Mahkamah Koroner.

22 Jun : Suruhanjaya menyerahkan laporan hasil siasatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

21 Julai : Laporan suruhanjaya setebal 124 muka surat dalam bahasa Inggeris diumumkan. 


Suruhanjaya diraja yang memutuskan Teoh Beng Hock MEMBUNUH DIRI mendapati setiausaha politik itu mengalami perubahan pada mindanya berikutan keraguan, konflik dan emosi keterlaluan yang disumbangkan oleh beberapa faktor.

1.            Cubaan untuk mengkhianati ketuanya, Ean Yong Hian Wah,
2.            Dinafikan haknya untuk tidur,
3.            Persekitaran yang tidak selesa dan asing, dan
4.            Berada dalam tahanan bagi jangka masa yang panjang.

"Setelah diseksa dengan kesukaran ini, Teoh Beng Hock mengalami perubahan pada keadaan mindanya. Dalam beberapa jam, perubahan ini mengubahnya daripada berada dalam kumpulan berisiko rendah untuk membunuh diri kepada kumpulan berisiko tinggi”.

"Keraguan, konflik emosi yang keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam semuanya tidak dapat diubah yang ditanggungnya. Akhirnya faktor pencetus krisis tidak dapat diubah yang berlaku kepadanya antara 3.30 pagi dengan 7 pagi pada 16 Julai 2009 telah menyebabkan keadaannya bertambah parah”.

"Apabila dia tidak menemui strategi yang berkesan untuk mengatasi tuduhan-tuduhan yang dilontarkan kepadanya, dia mendapati dirinya tidak dapat keluar lagi dari keadaan dahsyat yang membelenggunya”.

"Apabila dia putus harapan, Teoh Beng Hock berasa terjebak dan tewas kepada kekecewaan. Disebabkan tingkap di tingkat 14 telah terbuka ataupun mudah dibuka, dan ia adalah jelas dan boleh diakses dari sofa di mana dia berada di luar bilik Nadzri (Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim), Teoh Beng Hock mendapati bahawa satu-satunya cara untuk melepaskan dirinya daripada kesengsaraan yang dilaluinya adalah dengan melompat keluar dari tingkap itu, biarpun ini bermakna mengambil nyawanya sendiri”.

Kenyataan itu telah dikeluarkan secara bersama oleh kelima-lima anggota suruhanjaya di dalam laporan setebal 124 muka surat.

Pengumuman itu sekaligus telah merungkai persoalan dan tuduhan Pakatan Pembangkang bahawa kematian Teoh Beng Hock ini disebabkan dibunuh.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger