Monday, July 18, 2011

WAJARKAH PEMUDA BN SARAWAK SERTAI PEMUDA UMNO BERDEMONTRASI MENENTANG BERSIH 2.0?





Setelah seminggu Perhimpunan Haram BERSIH 2.0 berlalu, pelbagai macam andaian dan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Pembangkang mahupun pemimpin Barisan Nasional. Itulah asam garam yang sepatutnya diterima memandangkan politik Malaysia bergerak 365 hari setahun dan beredar selama 24 jam dan 60 saat setiap hari.

Perhimpunan Haram BERSIH 2.0 telah menyaksikan bagaimana Kuala Lumpur bermuram di kala seperti darurat diisyiharkan. Mengikut perancangan BERSIH 2.0, perhimpunan haram itu juga diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu.

Pertempuran BERSIH 2.0 dan PATRIOT pada 9 Julai 2011 tidak menjadi kenyataan apabila polis berjaya mengawal keadaan dengan menyuraikan kedua-dua kumpulan. PATRIOT yang disertai Pemuda UMNO yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin Pemuda UMNO. BERSIH 2.0 pula yang diketuai S. Ambiga telah berjaya disuraikan polis yang merancang untuk berjalan menuju ke Stadium Merdeka.

Khairy yang mengetuai kumpulan PATRIOT telah berkumpul di Bukit Bintang namun sempat dihalang polis. BERSIH 2.0 pula telah dihalang dibeberapa buah tempat termasuk di KL Sentral.


Apa yang hendak diperkatakan di sini, sebuah blog yang menggunakan nama UMNO Sarawak telah mencetuskan rasa tidak senang di kalangan kepimpinan Pemuda BN Sarawak. Apakah UMNO mempunyai blog yang menggunakan nama UMNO Sarawak atau blog ini sebagai pencetus ketidaktentuan oleh penulis yang propembangkang?

Tajuk entri ‘Di Manakah Pemuda BN Sarawak’ yang merujuk kepada Pemuda PBB, Pemuda SUPP, Pemuda SPDP dan Pemuda PRS yang didakwa tidak menyokong PATRIOT dengan menyertai perhimpunan haram itu. Kenyataan itu seolah-olah cuba untuk memecahkan semangat dan perpaduan BN yang selama ini dijaga rapi Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak.

Siapakah empunya blog tersebut? Sukar untuk mengesan dan tidak sukar pula untuk mencari empunya blog tersebut. Yang pasti, tulisan dalam blog itu tidak mencerminkan tujuan dan hala tuju UMNO dan BN, tetapi dikatakan mempunyai motif untuk menjatuhkan Pemuda BN Sarawak serta memecahbelahkan perpaduan di kalangan Pemuda PBB dan Pemuda UMNO.

Pastinya Pemuda BN Sarawak dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya tidak terpedaya dengan dakyah penulis blog itu yang diketuai ramai yang sudah tahu siapa di sebalik empunya blog. Pokoknya sekarang, penulis blog itu sudah tentu mempunyai motif tersendiri khususnya dalam mencari populariti menjelang PRU-13.

Apa pun semoga Tuhan menyedarkan penulis blog ini yang rasanya kemaruk pangkat dan jawatan dalam usaha menjadi pemimpin muda Sarawak. Yang pasti Tuhan sahaja yang tahu arah dan tujuannya menggunakan blog untuk menjatuhkan pemimpin BN yang selama ini diakui menjalankan tugasnya dengan baik walaupun disaluti dengan pelbagai dakyah dan fitnah.

Di Kuching, perhimpunan haram BERSIH 2.0 hanya berlangsung di kedai kopi di Stutong dan hanya disertai pemimpin-pemimpin DAP. Seramai 12 orang ADUN DAP yang memakai baju kuning telah menyertai sesi minum pagi sambil memotong kek berlogo burung kenyalang.

Namun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan semuanya atas usaha dan tugas polis yang mengawal baik keadaan. Terima kasih juga kepada DAP Sarawak kerana akur dengan nasihat polis supaya tidak mengadakan demontrasi sebaliknya hanya minum teh dan makan kuih. Begitupun, permit berhimpun tidak diberikan kepada DAP kerana dikatakan tiada permohonan dan menggunakan baju berwarna kuning dan dihiasi dengan logo burung kenyalang DAP sebagai lambang menyokong BERSIH 2.0. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger