Friday, August 26, 2011

PERANGAI BENGIS LIM GUAN ENG DI SEBALIK WAJAH JAMBUNYA



Wajah lembut Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang itu sentiasa menjadi rebutan ramai dan lenggok kata-kata manisnya yang boleh membuatkan ramai orang cair dan jatuh cinta. Berbeza dengan bapanya, Lim Kit Siang yang dilihat sangat bengis dan menampakkan emosi apabila bercakap dan akan mengamuk apabila soalan yang diajukan bersifat memuji BN.

Sejak lahir hingga sekarang, Lim Guan Eng telah dilahirkan dalam keluarga yang sangat membangkang kerajaan. Dan, tidak hairanlah beliau menjadi ketua menteri pertama daripada DAP.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Lim Guan Eng telah mengingatkan rakan-rakan pemimpin dalam Pakatan Pembangkang supaya sentiasa merendah diri. Sikap inilah yang telah membuatkan rakyat suka dengan kita tanpa melihat daripada mana kita datang.

Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu telah menyaksikan DAP dan Pakatan Pembangkang telah berjaya menawan Pulau Pinang daripada BN. Kekalahan BN ketika itu dikatakan akibat kelemahan jentera BN serta masalah dalaman yang berlaku. Namun, faktor kejayaan DAP dan Pakatan Pembangkang di Pulau Pinang juga menjurus kepada bagaimana bijaknya Lim Guan Eng merendah diri dengan menjadikan rakyat sebagai modal untuknya memenangi pilihan raya.

Walaupun berasasl daripada Melaka, Lim Guan Eng bijak memainkan bahasa badan sehingga membuatkan rakyat Pulau Pinang terutama masyarakat Cina terpesona dengan wajah lembutnya. Jika dibandingkan dengan kemahiran dan kepandaian mentadbir, ternyata Lim Guan Eng tidak mempunyai kemahiran itu. Ini boleh dilihat bagaimana tindakan semasa mentadbir Pulau Pinang, masyarakat Melayu ditindas dan masyarakat Cina pula diberikan ruang dan peluang seluas-luasnya.


Kini, Lim Guan Eng dan rakan pemimpin Pakatan Pembangkang sedang mencongak masa depan pentadbiran mereka di Pulau Pinang. Mereka belum pasti apakah mampu untuk mempertahankan Pulau Pinang atau terpaksa menelan kepahitan untuk menerima kekalahan.

Namun begitu, barang diingat dan mungkin ada yang menyedarinya, paling ketara taktik itu dikembangkan Guan Eng ketika menggerakkan misi untuk merampas Pulau Pinang daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008. Baik menjelang penamaan calon dan memasuki gelanggang PRU tersebut, itulah mukadimah dan penutup Guan Eng sama ada semasa sidang akhbar dan siri ceramahnya.

Bagi mereka terutama kalangan orang politik, yang mengikuti rencah dan corat-coret politik negara, sikap yang ditunjukkan oleh DAP barang kali agak unik berbanding sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang terang-terangan mempamerkan aksi angkuh, berdegar-degar serta memaki-hamun BN.

Namun, bagi para penyokong BN daripada UMNO, meskipun DAP nampak seolah-olah 'merendah diri' tetapi sebenarnya itu adalah strategi taktikal politiknya dengan sekurang-kurangnya pengundi atau masyarakat akan berasa simpati dan memangkah calon parti itu.

Jika diperhatikan pada kempen PRU Ke-12, Guan Eng pada sidang akhbar di Jalan Talipon, Georgetown pada suatu ketika sering mengulang-ulang kenyataannya.

"Mahu nafikan majoriti dua pertiga BN ini pun susah dicapai, macam mana kamu (pemberita) (boleh) cakap andai kata parti-parti pembangkang akan menang kerana ia tidak mungkin berlaku.

"BN pasti menang besar, yang cuma DAP nak pastikan ialah janganlah menang habis, menang sampai tsunami," kata Guan Eng.

Malah, pemimpin DAP itu 'dengan rasa rendah diri' juga mengingatkan pakatan pembangkang jangan sesekali bercita-cita tinggi melangit untuk berdepan BN. Sebaliknya, pembangkang harus menghadapi realiti bahawa BN tidak mungkin dikalahkan dalam senario politik negara sekarang.

Tapi itu Guan Eng. Taktiknya penuh psikologi dan taktikal. Itulah 'buah silat' DAP ketika masuk gelanggang. Tidak seperti Pas dan PKR yang mudah dibaca kilasnya dan akhirnya dinilai sejak awal tidak baik untuk menjadi pilihan rakyat pelbagai kaum.

Namun, barang diingat, meskipun gaya politik DAP nampak bersahaja serta 'cantik' tetapi jika dibuat penilaian mendalam, terutama ke atas manifesto PRU tempoh hari jelas banyak lompangnya.

Kerana itulah 'lagu yang didendangkan' oleh Guan Eng dengan 'rendah dirinya' perlu diamati dan direnung secara mendalam. Jika diamatipun, kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lepas untuk memberi pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan.

Kalau dalam Buku Jingga mereka itu, hampir 'berderau darah' dibuatnya dengan dengan janji-janji pembangkang untuk memastikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki konsesi lebuh raya untuk pemberian tol percuma. Sedangkan, berdasarkan perkiraan ekonomi, ia kelak akan memakan belanja antara RM50 hingga RM100 bilion. Jika dilaksanakan, ia akan meningkatkan defisit negara lebih daripada 6.4 peratus dari KDNK. Dengan pendapatan kerajaan RM158.6 bilion pada 2009, melaksanakan janji itu akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Di sebalik janji-janji ini, bagaimana pula dengan janji Kerajaan DAP Pulau Pinang yang diterajui Guan Eng untuk menghapuskan Tol Sungai Nyior dan Tol Jambatan Pulau Pinang dalam manifesto PRU-12. Setelah mendapat kuasa, janji itu tidak ditunaikan.

Rakyat mengerti bahawa KWSP tidak boleh disalah guna kerana ia khusus untuk simpanan rakyat semasa tua dan tidak boleh digunakan untuk menghapuskan bayaran tol. Kerajaan sendiri komited dalam soal tol dengan menurunkan kadar tol di Kampung Medan - Petaling Jaya Selatan daripada RM1.60 kepada RM1 bagi meringankan beban rakyat. Malahan, kerajaan telah membuat perakuan bahawa kadar tol di empat lebuh raya PLUS tidak dinaikkan dalam masa lima tahun. Demikian juga dengan komitmen akan menamatkan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur berkuat kuasa Mei 2011.

Ketika berucap di Jalan Talipon, George Town pada kempen PRU ke-12, kata Guan Eng, bukan MCA atau Gerakan yang akan terkena bahangnya jika penafian majoriti dua pertiga BN berjaya direalisasikan. Sebaliknya, tempias dirasai UMNO yang menjadi tonggak Melayu. Kerana hanya Pulau Pinang sahaja boleh menafikan dominasi UMNO, kata Guan Eng. Terbukti Pulau Pinang kin di tangan DAP.

Cuma, jangan percaya kepada lagu 'bendera putih' yang dialunkan Guan Eng dan DAP.

p/s: Olahan daripada Utusan Malaysia

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger