Wednesday, August 3, 2011

POLITIK PAKATAN PEMBANGKANG MENULAR KE IPT


Bekas Naib Canselor UNISEL

Tindakan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan memberikan notis 24 jam berkuat kuasa esok (hari ini) dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan PKR Selangor. Keputusan itu dibuat berikutan beliau tidak sanggup melaksanakan tindakan terhadap tiga pegawai UNISEL yang diarahkan dilucut jawatan iaitu Pendaftar, Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.

Sehingga kini, ketiga-tiga pegawai berkenaan tidak pernah diberikan surat tunjuk sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.

"Sah saya letak jawatan berkuat kuasa 3 Ogos (hari ini). Ada keputusan yang tidak sanggup saya laksanakan iaitu melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa memberi sebab dan tanpa mengikut proses. Selamat berpuasa," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)”.

Rosti yang berasal dari Klang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP). Dilantik sebagai Naib Canselor UNISEL pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Semasa baru dilantik, beliau berkeras tidak akan menjadi "pak turut" kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.

UNISEL ditubuhkan pada 23 Ogos 1999 dan kini mempunyai lapan fakulti yang menawarkan pelbagai bidang pengkhususan antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat, industri, bioteknologi, komunikasi dan media serta pengurusan perniagaan yang dikendalikan lebih 1,000 tenaga pengajar.

Memorandum itu disediakan dan ditandatangani oleh empat pegawai tertinggi lain di UNISEL pada 16 Mei lalu terhadap tiga pegawai UNISEL berkenaan atas tuduhan tertentu yang dipercayai membabitkan salah tadbir urus universiti itu. Tuduhan yang disertakan dalam memorandum berkenaan turut melibatkan Rosti yang dicadangkan meletak jawatan dan digantikan dengan serta-merta.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada Naib Canselor itu untuk memecat tiga pegawai berkenaan. Bagaimanapun, difahamkan arahan itu tidak diterima oleh Rosti atas alasan tidak mengikut tatacara perundangan dan tatatertib UNISEL.

Perkembangan terbaru ini secara jelas membuktikan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim itu secara langsung mencampuri urusan pentadbiran universiti dan politik. Ini sesuatu yang tidak baik dan sewajarnya dihindari memandangkan universiti mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju sendiri tanpa perlu campur tangan politik.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger