Friday, September 30, 2011

LAWATAN TIMBALAN MENTERI SENATOR DATUK MAGLIN DENNIS D’CRUZ KE SARAWAK CETUSKAN KONTROVERSI



Kehadiran Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ke Sarawak petang tadi disifatkan sebagai lawatan kontroversi.

Bersempena dengan lawatannya ke Sarawak, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dijadualkan akan melakukan lawatan ke Hospital Bau, Kampung Buan dan mengadakan lawatan ke tapak Pameran dan Pasar Sayur di Bau.

Ketika menunggu kehadiran Timbalan Menteri itu, kelihatan ramai ahli Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berlegar-legar bagi menanti kehadirannya. Sebaik saja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, suatu sidang akhbar telah diadakan bagi mewar-warkan tentang kehadiran beliau dan aktiviti yang akan dihadirinya. Bagaimanapun, sedikit kontroversi menyelebungi apabila difahamkan kehadiran Senator Maglin itu sebenarnya telah diatur oleh ahli-ahli PPP di Sarawak.

Melihat kepada aktiviti-aktiviti yang akan dihadirinya, timbul persoalan kerana kesemua tempat yang akan dilawatinya adalah berkisar dalam Parlimen P.192 Mas Gading.

Mengapa lawatan Timbalan Menteri itu hanya dikhususkan di dalam kawasan Parlimen P.192 Mas Gading? Ketika ini Parlimen Mas Gading diwakili Datuk Dr Tiki anak Lafe dari BN-SPDP.


Keputusan Presiden PPP, Datuk M.Kayveas melebarkan sayapnya ke Sarawak dan menyatakan akan meletakkan beberapa calon dalam PRU-13 di Sarawak telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan BN Sarawak. Malah tegasnya, sama ada mendapat ‘lampu hijau’ atau tidak dari BN Sarawak, parti itu tetap akan membariskan calon-calon di kawasan Parlimen terutamanya yang dimenangi pembangkang.

Salah satu kawasan Parlimen yang menjadi idaman dan yang akan ditandinginya dalam PRU-13 akan datang ialah Parlimen P.192 Mas Gading.

Justeru, tindakan PPP yang menjadi master mind dalam lawatan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ini adalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan. PPP Sarawak kini hanya akan menggunakan kabel Menteri-Menteri Persekutuan dalam mendapatkan sokongan berbanding BN Sarawak yang sememangnya tidak merestui kehadiran PPP yang dianggap sebagai pengacau.

Melihat kepada latar belakang Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, beliau kini adalah Naib Presiden Kanan PPP Malaysia.

YB Senator Datuk Maglin D’Cruz memulakan karier politiknya sebagai Pengerusi Cawangan PPP Taman Gembira, Klang pada tahun 1996.  Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, dan pada tahun 2008 telah dilantik oleh Parti sebagai Naib Pengerusi PPP Negeri Selangor.

Pada pemilihan parti tahun 2000, 2004 dan 2009 beliau telah meraih jumlah undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya beliau telah diamanahkan untuk menyandang tanggungjawab sebagai Naib Presiden Kanan Parti PPP Malaysia sehinggalah kini.

Yang pasti kehadiran Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ke Sarawak kali ini atas tiket Naib Presiden Kanan PPP Malaysia. Lawatan yang dilakukannya kali ini telah menguatkan lagi desas-desus keinginan PPP untuk meletakkan calonnya dalam PRU-13 di kawasan P.192 Mas Gading.  

Ini pastinya amat tidak disenangi pemimpin BN Sarawak terutama kompenan SPDP. Nampaknya kehadiran Naib Presiden Kanan PPP itu telah menganggu gugat BN Sarawak yang ketika ini sedang berusaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN kesan daripada kemerosotan sokongan dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas.

Keterlibatan secara langsung PPP dalam lawatan ini dikhuatiri akan mewujudkan pelbagai polemik politik terbaru Sarawak yang sememangnya kehadiran parti itu ke Sarawak sangat tidak dialu-alukan.  

1 komen:

  1. Apa ni PPP?Janganlah kacau rumahtangga org lain...kalau betul anak jantan,banyak seat di Semenanjung yg boleh di tandingi....Orang Sarawak boleh jaga diri sendiri..tak perlu parti dr Semenanjung utk bertapak.....cukup kuat dah Ada 4 parti utama yg menjadi tulang belakang kpd negeri Sarawak .Selama ini pun tak pernah kita minta apa2 yang Lebih sebaliknya sanggup berkongsi kekayaan negeri Sarawak dgn negeri lain walaupun kekayaan yang Ada mampu utk memajukan sendiri negeri Sarawak.Tepuk dada Tanya hati Dan bukalah minda utk berfikir.......wahai org sarawak,sedarlah Dan jgn jadikan diri sendiri sebagai tunggangan parti Yang tak kuat ini yang hanya dikuasai majority org India walhal di Sarawak orang India x byk........

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger