Wednesday, September 7, 2011

PERLAWANAN PERTAMA PIALA MALAYSIA ‘NGAP SAYOT’ SARAWAK 2011 SANGAT MENGECEWAKAN PENYOKONG SETIA SARAWAK



Sepanjang 90 minit dalam perlawanan pertama pasukan ‘Ngap Sayot’ Sarawak dalam Piala Malaysia menentang Kelantan yang berkesudahan Sarawak tewas 0 – 2 kepada Kelantan amatlah mengecewakan.

Kehadiran lebih 25,000 penyokong Sarawak yang membanjiri segenap penjuru Stadium Negeri Sarawak yang suatu ketika pernah mencatat sejarah kegemilangan pasukan Sarawak era Ngap Sayot pada penghujung tahun 1980-an ternyata mengecewakan penyokong setia pasukan Sarawak.

Buat julung kalinya, semenjak era kegemilangan Ngap Sayot berakhir, Stadium Negeri Sarawak tidak pernah penuh sesak seperti mana yang berlaku pada malam perlawanan pertama Piala Malaysia pada 6 September 2011.


Kesungguhan sebuah persatuan peminat yang dikenali SADIEHAF (http://sadiehaf.blogspot.com) bagi memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak Sarawak telah berjaya mencetuskan kemeriahan bola sepak Sarawak pada era tahun 2011 ini. Kehadiran mereka berjaya menaikkan semangat penyokong Sarawak yang sebelum ini agak tenggelam ekoran prestasi hambar pasukan bola sepak Sarawak.



Statistik perlawanan Sarawak menentang Kelantan menyaksikan Sarawak seakan-akan lemas di tempat sendiri. Sepanjang 90 minit perlawanan, Sarawak hanya melakukan satu sahaja percubaan bahaya di gawang Kelantan pada minit terakhir separuh masa kedua.

Kemenangan Kelantan ketika menentang Sarawak sememangnya diakui di atas kertas dan berjaya direalisasikan di atas padang disebabkan kelemahan persembahan Sarawak samada dari sudut pemilihan pemain, taktikal permainan dan kelemahan komunikasi antara pemain.

Yang pasti kehadiran puluhan ribu penyokong dan peminat Sarawak yang membanjiri Stadium Negeri Sarawak pada malam perlawanan itu sangat membanggakan. Bagaimanapun, ia tidak dapat dibalas dengan setimpal oleh pemain-pemain Sarawak yang dilihat masih berhari raya.

Tindakan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang telah berjaya meyakinkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaikkan harga tiket bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia dilihat telah membebankan peminat Sarawak. Hanya disebabkan berjaya menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana dan faktor bermain pada waktu malam telah mendorong FAS menaikkan harga tiket.

Tempat duduk terbuka sebelum ini berharga RM7.00 telah dinaikkan kepada RM10.00 dan begitu juga harga tiket di kawasan tempat berbumbung dan kawasan Grandstand. Bagaimanapun kemasukan percuma bagi pelajar sekolah dan pelajar IPT masih digunapakai.


Kehadiran ramai peminat dan penyokong Sarawak ke Stadium Negeri Sarawak pada malam menentang Kelantan sememangnya telah dijangka. Suasana Hari Raya dan banyaknya duit raya telah mendorong peminat Sarawak datang melihat aksi pasukan kesayangan mereka.

Pemilihan pemain dalam kesebelasan Sarawak ternyata tidak disenangi ramai pihak. Peminat berasakan pengurusan Sarawak perlu melihat keserasian dan kelebih pemain sebelum memutuskan menurunkan pemain yang benar-benar memenuhi matlamat pasukan. Tindakan Sarawak menggunakan dua pemain pinjaman dari pasukan Angkatan Tentera Malaysia pada perlawanan pertama Piala Malaysia ternyata tidak berbaloi dan mengecewakan.

Sepanjang perlawanan, pemain-pemain pasukan Sarawak ternyata kehilangan idea dan bermain secara selamat. Sememangnya, ramai di kalangan pemain Sarawak seakan-akan menghormati pemain-pemain Kelantan yang dikatakan lebih berpengalaman atas sebab mewakili pasukan kebangsaan. Namun, tindakan sebegini sememangnya memalukan dan tidak mempunyai keyakinan diri terhadap kelebihan pasukan. Ini kerana permainan bola sepak berteraskan pasukan dan bukannya individu.


Sarawak dalam perlawanan pertama Piala Malaysia seperti telah hilang arah dengan segala bentuk serangan dari bahagian kedua-dua sayap mahupun bahagian tengah ternyata gagal. Setiap pergerakan pemain Sarawak ternyata tidak menghiburkan sehingga menyebabkan peminat berasa bosan. Secara langsung, taktikal pasukan Sarawak gagal dan membosankan.

Sikap pemain Sarawak yang bertekak dan menengking rakan-rakan lain dalam pasukan ketika perlawanan masih berjalan sememangnya mengecewakan peminat. Walaupun perbuatan itu dianggap lumrah, namun ia telah merenjatkan motivasi pemain yang berjuang untuk mencapai kemenangan. Ini sekaligus melemahkan pemain-pemain yang dianggap sebagai pak turut dalam pasukan.


Justeru, FAS perlu mengambil iktibar di atas kegagalan perlawanan pertama Sarawak menentang Kelantan. Setiap perkataan yang ditulis di atas bukanlah untuk melemahkan pemain mahupu keseluruhan pasukan Sarawak, tetapi lebih bersifat mengkritik membina. Ini penting supaya FAS tidak dilihat sebagai semua betul sehingga mengabaikan kemahuan dan keperluan peminat. Ingatlah bahawa setiap peminat yang datang ke stadium dan menyaksikan perlawanan bola sepak telah mengeluarkan wang mereka semata-mata mahu melihat aksi pasukan kesayangan mereka untuk mencatat kemenangan dan bukan kekalahan.


Masih ada 5 lagi perlawanan peringkat kumpulan yang perlu diselesaikan sebelum melihat pasukan mana yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir. Walaupun tewas dalam perlawanan pertama, Sarawak masih lagi berpeluang untuk mara ke suku akhir dengan syarat berjaya memenangi perlawanan seterusnya dan bersedia menerima kritikan peminat. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger