Monday, October 31, 2011

MAMPUKAH BN SARAWAK MENGEKALKAN PRESTASI PILIHAN RAYA UMUM 2008?



BN Sarawak dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan BN Pusat pada 1 Noevember ini bagi mengemukakan laporan mengenai persiapan BN Sarawak dalam menghadapi PRU-13 akan datang.

Laporan yang dibentangkan itu nanti antara lain strategi BN Sarawak menghadapi pilihan raya, calon-calon parti kompenan BN dan isu-isu yang membabitkan kawasan-kawasan bandar yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

Persoalannya, adakah kompenan BN Sarawak mampu mengulangi kejayaan seperti yang ditunjukkan dalam PRU 2008 lalu?

Melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri  Sarawak April lepas, jelas prestasi itu sukar dipertahankan khususnya bagi kompenan SUPP, PRS dan SPDP. Begitupun, prestasi PBB sebagai tunjang BN Sarawak dijangka tidak menjadi masalah untuk mengekalkan prestasinya seperti yang ditunjukkan pada PRU 2008 juga PRN 2011 lepas.


Ketika ini, Sarawak yang mempunyai 31 kerusi Parlimen – 29 daripadanya dikuasai BN Sarawak - PBB, SUPP, PRS dan SPDP manakala 2 lagi kerusi Parlimen, iaitu Bandar Kuching dan Sibu , masing-masing kawasan bandar dikuasai parti pembangkang DAP.

Mengikut tradisi, yang digunapakai selama ini, pebahagian kerusi Parlimen yang ditandingi kompenan BN Sarawak – 14 ditandingi PBB, SUPP 7 kerusi, PRS 6 kerusi dan SPDP 4 kerusi.

Dalam PRU-13, hanya kerusi Parlimen sahaja yang akan ditandingi di Sarawak memandangkan kerusi DUN diadakan berasingan dan telah diadakan pada April lepas.

Daripada keempat-empat kompenan BN Sarawak, prestasi SUPP perlu diperbaiki. Prestasi merosot SUPP pada PRN Sarawak April lepas dijangka akan berulang lagi pada PRU-13 akan datang. Jika ini berlaku dan menjadi kenyataan, kerusi Parlimen Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri akan jatuh kepada Pembangkang DAP.

Sentimen benci terhadap kerajaan yang dibawa Pembangkang DAP kepada pengundi-pengundi Cina telah menular ke Sarawak seperti yang digambarkan pada PRN Sarawak Ke-10 dijangka akan berterusan pada tempoh yang agak lama.

Perhimpunan SUPP yang dijadualkan hujung tahun ini dan pemilihan jawatan Presiden SUPP bagi menggantikan Tan Sri Dr George Chan dijangka tidak akan dapat mengubah parti itu dalam masa yang singkat sekiranya PRU-13 diadakan pada awal tahun depan.


Penerimaan Gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri, datuk Seri Mohd Najib Razak semakin diterima rakyat di Sarawak. Dalam masa yang sama, sentimen rasis kecinaan yang dibawa Pembangkang DAP yang berterusan juga telah menguatkan kebencian terhadap kerajaan. Media massa seperti akhbar-akhbar Cina yang banyak memainkan isu membenci kerajaan telah diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin Pembangkang DAP.

Kini, bagi mengimbangi kerasisan mereka, DAP telah membawa dan memperkenalkan pemimpin DAP dari kalangan orang Bumiputera Sarawak termasuk Melayu. Dijangka, DAP akan cuba untuk menambah kerusi yang akan ditandinginya di kawasan Parlimen seperti Parlimen Mas Gading dan Kota Samarahan.


Keyakinan DAP begitu tinggi dan menukar coraknya untuk menghadapi kompenan BN Sarawak seperti PBB, PRS dan SPDP. Mereka tidak lagi memandang SUPP sebagai ancaman utama disebabkan kejayaan  mereka mengalahkan SUPP pada PRN Sarawak Ke-10 dan mengalih pula kepada persaingan yang lebih kompetitif.

Bagi DAP, kerusi parlimen di kawasan bandar seperti Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri pasti akan berada dalam genggaman mereka. Atas sebab itu, DAP kini meluaskan kuasa dan pengaruhnya dengan bercadang meletakkan calon di kawasan luar bandar.

Isu PRN Sarawak yang lepas masih lagi menjadi isu utama Pakatan Pembangkang dengan tanah menjadi kedudukan tertinggi di samping pembangunan setempat. Begitupun, pengumuman Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana menteri dengan memperuntukkan bajet yang besar ke atas pembangunan luar bandar dijangka akan menaikkan sedikit sokongan ke atas BN. Hanya perlaksanaan yang akan ditunggu rakyat sebelum sebarang penilaian dibuat menerusi kertas undi.

Isu tanah yang kini sedang ditangani jabatan dan agensi terlibat dan dibantu sumber kewangan oleh kerajaan Persekutuan masih belum mampu menarik sokongan rakyat khususnya di kawasan pedalaman. Fitnah dan fakta yang salah yang diberikan Pakatan Pembangkang setiap kali memberikan ceramah kepada rakyat di lapangan telah membolehkan rakyat mempercayainya.

PKR, kompenan Pakatan Pembangkang yang diterajui Baru Bian juga dijangka akan memberikan saingan kepada BN Sarawak khususnya ke atas kompenan SPDP – kerusi Parlimen Saratok dan Baram. Kedua-dua kerusi Parlimen ini berpotensi untuk diambil PKR sekiranya pucuk pimpinan SPDP tidak mengambil langkah dalam mengatur strategi menambat hati pengundi. Kelantangan pengundi di lapangan yang mahukan penyandang ditransformasikan bagi mengurangkan tekanan rakyat di atas perkhidmatan yang ditawarkan sebelum ini tidak memenuhi aspirasi rakyat. Jika ini berlaku, sokongan ke atas BN Sarawak pasti akan dapat diulangi.


Parlimen Saratok yang kini disandang Jelaing Mersat yang merupakan Setiausaha Agung SPDP merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri dijangka akan mendapat saingan sengit daripada PKR sekiranya meletakkan ADUN Krian, Ali Biju. Prestasi dan mainan tarik tali dalam menyatakan minatnya mempertahankan kerusi Saratok telah membuatkan rakyat tidak lagi berkeyakinan terhadapnya.

Begitu juga dengan Parlimen Baram apabila rakyat telah memasang 4 banner dan mengadakan perhimpunan bagi membantah keputusan SPDP sebaik sahaja diumumkan Presiden SPDP, tan Sri William Mawan yang mahu mengekalkan penyandangnya pada PRU-13 akan datang. Tanpa ada paksaan daripada parti politik pembangkang, rakyat keluar menyatakan suara rakyat yang mahukan transformasi calon BN.


Bagi mengimbangi isu-isu di kawasan yang pastinya membuatkan BN Sarawak tidak senang duduk, terdapat keperluan bagi parti pemerintah BN untuk melakukan transformasi politik seperti yang dilakukannya semasa PRN Sarawak yang lepas dengan mengetengahkan calon-calon baru yang lebih tangkas dan berdaya kepimpinan. Hanya melalu cara ini, rakyat akan melihat satu dimensi baru yang dibawa calon-calon baru bagi mengimbangi calon-calon Pakatan Pembangkang khususnya DAP dan PKR yang kebanyakannya mengetengahkan orang-orang muda yang berwawasan.

Permasalahan dalam SPDP yang membabitkan 5 pemimpin tertinggi SPDP yang juga wakil rakyat sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana pastinya akan membawa mala petaka yang amat besar kepada BN Sarawak juga kepada BN secara keseluruhannya. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger