Monday, December 26, 2011

KEMENTERIAN PELAJARAN PERLU AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP GURU PONTENG



Ramai menganggap isu guru ponteng ini suatu perkara yang terpencil. Kebanyakannya berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman sehingga menyebabkan Jabatan Pelajaran Negeri sukar untuk mengambil tindakan. Bagaimanapun, perkara ini jika berlarutan boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kualiti pembelajaran di sekolah. Yang menjadi mangsa pastinya anak-anak murid yang mengharapkan pendidikan yang sempurna daripada guru sesuai dengan gaji mereka perolehi saban tahun.

Dalam pemeriksaan dan pemantauan pihak Jemaah Nazir Sabah dan Jaminan Kualiti (JNJK) Sabah pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas.

Melihat kepada jumlah guru yang tidak hadir itu, sewajarnya Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengambil tindakan tegas dan bukannya berdiam diri, sikap sebegini membuatkan guru-guru yang pernah membuat dirinya ponteng sekolah akan berasa selamat.

Setiap tahun, permintaan guru kepada kerajaan sering mendapat perhatian sehingga membuatkan penjawat awam yang kerja-kerja mereka lebih teruk berbanding guru diketepikan. Dan, begitu juga dengan pertubuhan dan organisasi yang mewakili guru-guru ini bertindak menekan kerajaan bagi sesuatu perkara yang tidak disukai seperti cadangan pelaksanaan pengajaran selama 9 jam sehari.

Apabila ada di kalangan guru-guru yang mendesak kerajaan menaikkan gred dan jawatan guru yang telah bekerja lebih 8 tahun, kerajaan telah mempertimbangkan dan mempersetujuinya seperti dalam Belanjawan 2012. Namun, persoalannya apakah sumbangan guru-guru itu kepada kerajaan?

Umum mengetahui setiap permintaan guru terhadap kerajaan akan dipertimbangkan dan ditunaikan. Namun, sejauh mana sumbangan mereka kepada masyarakat? Ada di kalangan guru-guru yang seronok berpolitik sehingga mengabaikan pelajaran murid-murid malah yang lebih teruk menentang kerajaan. Mereka ini tidak ingat siapakah yang membayar gaji mereka?

Justeru, guru-guru tidak perlu lagi dilayan macam raja mahupun permaisuri hanya kerana mereka mendidik anak bangsa. Perkara itu perlu diperbetulkan agar penjawat awam lain yang lebih penting peranannya dari cikgu dapat dilihat dan dibela. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger