Thursday, January 19, 2012

WAJARKAH PORTFOLIO HAL EHWAL ISLAM DIAMBIL ALIH KHALID IBRAHIM?


Persoalan siapakah yang akan memegang jawatan Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan bagi menggantikan Dr Hassan Ali yang dipecat akhirnya terjawab apabila Khalid Ibrahim mengumumkan penggantinya setelah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Bagaimanapun, terdapat rombakan kecil apabila portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan yang sebelum ini dipegang Dr Hassan Ali kini diambilalih Khalid Ibrahim. Manakala, pengganti Dr Hassan Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi diberi kepercayaan memegang portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan Negeri yang sebelum ini dipegang Khalid Ibrahim.

Persoalan di sini, apakah sebabnya Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor merombak portfolio dengan dirinya memegang jawatan portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan?

Umum mengetahui ketika Dr Hassan Ali memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan, ramai di kalangan pemimpin DAP dan PKR termasuk PAS sendiri tidak menyukai cara dan pelaksanaan kerja. Ada di antara perbuatan Dr Hassan Ali dikatakan menyebabkan hubungan antara pemimpin Pakatan Pembangkang retak dan renggang.

Antara peristiwa yang menjadi tunjang kepada berlakunya pergeseran pemimpin Pakatan Pembangkang ialah tindakan Dr Hassan Ali merampas arak-arak yang dijual di kawasan Melayu, melarang umat Islam bekerja di kelab-kelab malam yang menyediakan minuman keras, isu Gereja DUMC dan melarang pemimpin-pemimpin politik yang tidak bertauliah memberi ceramah politik di surau dan masjid di Selangor.

Dr. Ahmad Yunus, 47, berkelulusan Ijazah Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Malaya, menggantikan Dr. Hasan Ali, yang dipecat dari PAS pada 8 Januari lepas.

Ditanya mengapa berlakunya rombakan terhadap portfolio, jawapan Khalid Ibrahim bahawa Dr Ahmad Yunus sebelum ini pernah dilantik memegang portfolio itu sebagai pembantu Exco.

Manakala, menurut Khalid Ibrahim portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan sewajarnya diletakkan di bawah kuasa Menteri Besar Selangor adalah supaya pemimpin PAS yang sebelum ini dipertikai pentauliahnya sebagai penceramah kini bebas untuk berceramah politik dan seterusnya membantu Pakatan Pembangkang mengekalkan kuasa di Selangor pada PRU-13.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger