Thursday, February 23, 2012

DAP GESA PKR UNDUR DIRI TANDING KERUSI PARLIMEN STAMPIN


Bosan. Itulah ungkapan yang dilontarkan Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam mengulas isu perebutan kerusi Parlimen Stampin yang membabitkan DAP dan PKR. Perebutan kerusi Parlimen Stampin menjadi perhatian kedua-dua parti Pakatan Pembangkang itu memandangkan sesiapa saja calon DAP atau PKR yang akan bertanding di Parlimen Stampin berpeluang cerah untuk menang.

Atas sebab itu, DAP dan PKR berebut-rebut untuk menjadi calon di kerusi Parlimen itu. Mengikut data terkini, jumlah pengundi di kerusi Stampin adalah sebanyak lebih kurang 80,000 orang dan majoritinya terdiri daripada kaum Cina.

Pada PRN Sarawak ke-10, kerusi Parlimen Stampin diwakili DUN Kota Sentosa dan DUN Batu Kawah yang dimenangi DAP dan DUN Batu Lintang dimenangi PKR. Bagaimanapun, kerusi Parlimen Stampin sebelum ini dimenangi Datuk Yong Khoon Seng daripada BN-SUPP.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Stampin, Datuk Yong Khoon Seng memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu dan dijangka memberi peluang kepada calon baru bagi menggantikannya. Begitupun, itu terpulang kepada rakyat lagi untuk memilih calon BN-SUPP bagi menggantikannya.

Bagi perebutan kerusi Parlimen Stampin, DAP mahu Chong Chieng Jen bertanding di kerusi tersebut dan Dr Tang Sie Hing bertanding di kerusi Parlimen Bandar Kuching. Chong Chieng Jen merupakan penyandang bagi kerusi parlimen Bandar Kuching.

Terdapat juga cadangan lain bagi mengelak perebutan kerusi Parlimen Stampin ialah membuat pertukaran kerusi dengan memberikan peluang PKR bertanding di kerusi Bandar Kuching dan mengambil kerusi parlimen Stampin. Bagaimanapun, cadangan itu merugikan DAP yang sekian lama meluaskan pengaruhnya di kawasan bandar yang dihuni majoriti Cina itu.

Dalam mempertahankan kedudukan DAP sebagai parti popular dan relevan, DAP menegaskan mereka mempunyai ramai calon yang berpeluang menang dalam pilihan raya berbanding PKR.


Sementara itu, PKR dijangka mempertaruhkan penyandang DUN Batu Lintang, See Chee How untuk bertanding di kerusi Parlimen Stampin. Bagi menguatkan alasannya, beliau dikatakan mempunyai sokongan padu di DUN Batu Lintang dan DUN Batu Kawah.

Walau apapun keputusannya, DAP dan PKR kini dalam dilemma sama ada mahu berkrompomi atau menjaga kepentingan masing-masing. 

2 komen:

  1. kalau dah dua-dua tak nak mengalah, bagi can dengan PAS saja lah..huhuhuhu

    ReplyDelete
  2. lol, pandai salfian.

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger