Sunday, August 26, 2012

85% JANJI BELUM TERTUNAI TAPI KENAPA MUNCULNYA BUKU JINGGA



Penggal ke-12 hampir tamat pada bulan April 2013 dan PRU-13 kini boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja. Semua parti politik sibuk berkempen siang dan malam juga termasuk hari perayaan biarpun SPR belum lagi mewartakan masa berkempen. Inilah politik di Malaysia yang saban hari dan setiap saat bercerita pasal politik dan Putrajaya.

Di kesibukan berpolitik, Pakatan Pembangkang sejak dua tiga tahun sebelum ini sibuk berkempen dengan memburukkan pemimpin BN dan mengesyorkan Buku Jingga yang merupakan manifesto atau janji-janji manis Pakatan Rakyat @ Pakatan Pembangkang. Pakatan walaupun bergabung secara lisan tanpa bertulis tetapi sehingga kini masih dianggap Pakatan Haram kerana masih tidak berdaftar.

Negeri tadbiran Pakatan Pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan kini tidak kering dengan pelbagai isu semasa yang banyak berkisar kepada janji-janji yang belum ditunaikan. Paling malang ialah rakyat Selangor dan Pulau Pinang yang banyak menghadapi masalah sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Keputusan memberikan ruang kepada Pakatan Pembangkang untuk memerintah Selangor dan Pulau Pinang pada PRU 2008 jelas memberikan pengajaran yang sangat mendalam. Bukan semudah seperti menukar kerajaan sama seperti menukar baju. Inilah akibatnya di mana Pakatan Pembangkang masih gagal melunaskan 85% janji seperti dalam manifesto yang dicanangkan pada PRU12.

Seperti yang banyak dan kerap dicanangkan Pakatan Pembangkang dalam kempen PRK dan PRN Sarawak 2011 bahawa Kerajaan Selangor telah memberikan air percuma sebanyak 20 meter padu atau bersamaan lebih kurang 11 botol air mineral yang jumlah berharga RM11.60 sebulan. Inilah nilai air percuma yang diberikan Kerajaan Selangor selepas menawan Selangor pada PRU 2008.

Bagaimanapun, air percuma yang diwar-warkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ketika PRK Sibu dan Khalid Ibrahim ketika berkempen semasa PRN Sarawak 2011 hanyalah retorik. Jika tidak diberi manakan rakyat memberontak. Inilah yang berlaku kepada rakyat Selangor yang masih dan sehingga kini tidak menerima air percuma biarpun tempoh penggal ke-12 ini akan berakhir tidak lama lagi.

Berbeza dengan BN yang sudah menunaikan janji lebih daripada 87 peratus janji yang dibuat sejak daripada pilihan raya umum pada 1959 ketika di bawah Parti Perikatan. Malah, semasa pemerintahan @NajibRazak ini kehidupan rakyat kian meningkat dengan kerajaan menunaikan janji-janjinya untuk keselesaan rakyat seperti BR1M, KR1M, Klinik 1Malaysia, Transformasi, Gagasan 1Malaysia dan banyak lagi.

Kontroversi demi kontroversi yang melanda Pakatan Pembangkang sejak akhir-akhir ini menjelaskan kepada rakyat bahawa perhubungan mereka selama ini boleh ditakrifkan sebagai ‘perkahwinan mutaah’ yang bersifat sementara. PKR, DAP dan Pas hanya memerlukan antara satu sama lain pada musim pilihan raya dan berkeyakinan kerjasama seperti itu tidak akan bertahan lama kerana mereka mempunyai agenda berbeza.

Justeru, pengenalan Buku Jingga bagi menghadapi PRU-13 hanya bersifat satu lagi janji manis bertulis yang secara asas sukar dilaksanakan. Jika dilaksanakan pastinya Malaysia akan bankrap. Ini perlu diakui Pakatan Pembangkang yang hanya menabur janji manis walaupun mereka mengakui agak sukar untuk melaksanakan. Jika rakyat Selangor dan Pulau Pinang sudah sengsara dengan janji yang masih belum tertunai, apatah lagi jika mahu memerintah negara. 

1 komen:

  1. sekarang nipun malaysia sebenarnya bangkrap..tak hairan rakyat di negeri pemangkang hidup susah..yang menghairan rakyat dinegeri diperintah BN(kerajaan) pun banyak yang susah,merempat dan kedana sengaja BN tak tunjuk kat TV dan suratkhabar..tak caya pergi ke sarawak.

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger