Friday, September 21, 2012

LEBIH 1,000 UMAT ISLAM DI KUCHING BANTAH FILEM IINOCENCE OF ISLAM


Selepas solat Jumaat, lebih kurang 1,000 umat Islam di Sarawak telah menyertai Perhimpunan Aman bagi membantah filem “Innocence of Islam”. Perhimpunan ini merupakan anjuran beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang terdapat di Kuching.

Perhimpunan yang dijadualkan pada jam 12.00 tengahari itu terpaksa ditangguhkan selepas solat Jumaat. Ini bagi memberi ruang kepada ratusan jemaah untuk mengerjakan solat Jumaat sebelum Perhimpunan Aman diadakan di hadapan Masjid Bahagian Kuching.

Pengerusi penganjur sebelum itu telah memberikan amanat bahawa Perhimpunan Aman ini adalah bertujuan untuk mengutuk dan membantah penayangan filem “Innocence of Islam” di seluruh negara. Dengan harapan suara-suara rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta orang ini akan didengari pemimpin dan pertubuhan dunia seperti Barrack Obama, PBB, OIC dan sebagainya.

Selain di Kuching, bantahan yang sama turut diadakan di Kuala Lumpur di mana Pemuda UMNO yang diketuai Khairy Jamaluddin dan Pemuda PAS berarak di lokasi berbeza menuju ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyerahkan memorendum bantahan. Pemuda UMNO bergerak dari Masjid Kampung Baru manakala Pemuda PAS berarak dari Masjid Tabung Haji untuk sama-sama ke Kedutaan Amerika Syarikat.


Sebelum rombongan berarak ke Balai Polis Sentral, doa telah dibacakan oleh imam Masjid Bahagian Kuching. Selesai doa, rombongan yang diketuai Dato’ Idris Buang bersama ahli-ahli NGO’s bergerak menuju ke Balai Polis Sentral bagi membuat laporan polis. Perjalanan yang hanya mengambil masa selama tidak sampai 10 minit telah berjaya memukau ribuan masyarakat Kuching.

Kesempatan itu membuatkan masyarakat Kuching turut sama berarak sambil melaungkan nama Nabi Muhamad S.A.W.

Perjalanan menuju ke Balai Polis Sentral sangat lancar dengan pihak polis berjaya mengawal keadaan biarpun jalan raya sesak. Terima kasih pasukan Polis Di Raja Malaysia.

Perhimpunan Aman hanya selesai lebih kurang jam 2.15 petang sebaik saja selesai laporan polis dibuat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger