Saturday, September 29, 2012

@NajibRazak : PENGAKHIRAN PEMBENTANGAN BAJET 2013 DITUJUKAN KHAS KEPADA ANWAR IBRAHIM



Anwar Ibrahim mendakwa Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Najib Razak sebagai Bajet PRU-13 manakala, Najib Razak menegaskan Bajet 2013 merangkumi kesejahteraan rakyat dalam menghadapi persaingan ekonomi global yang tidak menentu bersandarkan Janji Ditepati.

Dengan dakwaan semborono, Anwar Ibrahim menyatakan Bajet 2013 yang dibentangkan Najib Razak hanya bertujuan mengkayakan ekonomi kroninya. Dakwaan dilontarkan kepada Najib Razak itu berikutan selepas pembentangan Bajet 2013, reaksi rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana menyambut baik Bajet 2013 kali ini yang disifatkan sebagai yang terbaik dalam ekonomi negara.

Jika Anwar Ibrahim menyifatkan Bajet 2013 sebagai mengakayakan kroni, Setiausaha PKR, Saifudin Nasution pula melihat Bajet 2013 itu bertujuan menaikkan populariti Najib Razak dan BN kepada rakyat. Dakwaan Saifudin Nasution bersifat kecewa kerana inti pati Bajet 2013 yang dibentangkan Najib Razak itu sememangnya untuk rakyat dengan slogan Janji Ditepati.

Soal meraih populariti itu tidak timbul kerana semenjak Najib Razak memegang tampuk Perdana Menteri dan perlaksanaan transformasi dan 1Malaysia serta Janji Ditepati, rakyat menerima Najib Razak dengan hati terbuka. Disumbangkan juga kecelaruan dan kerengganan hubungan PKR, DAP dan PAS dalam pelbagai isu serta isu moral Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Berteraskan Janji Ditepat, Najib Razak menegaskan masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka sambil menggesa rakyat memberikan mandate kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan sama ada hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi.

"Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Bajet 2013 merupakan antara siri-siri belanjawan yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

"Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata, hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan BN sebanyak 12 kali tanpa putus sejak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.

"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak,  namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi.

Sambil memetik madah pujangga, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak, Najib turut mengakui bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan BN dengan pakatan pembangkang ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Najib berkata, pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka.


"Kerana mereka bukan tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.

"Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila kerajaan berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.

"Hakikatnya, jika kita berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang.

"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya?

Katanya jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

"Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana."

Kerajaan BN juga pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala kepada rakyat sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan terhadap segala masalah mereka.

Memetik kata-kata seorang ahli falsafah Yunani "The measure of a man is what he does with power" Najib berkata justeru pada hari ini, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.

Katanya, kerajaan BN dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" seperti yang terkandung dalam ayat al-Quran yang dibacanya di awal ucapannya, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Katanya, pada hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian dan kerajaan  difitnah serta dituduh semahunya.

"Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati  dan yang berbakat digilap.

"Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian.

Kepada ALLAH kita berserah sebagai mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2013 itu.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger