Wednesday, October 31, 2012

PKR SARAWAK CERAI SNAP TALAK 3



Dahulunya sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, PKR dan SNAP seperti adik beradik. Bila saja ada sidang akhbar sama ada PKR atau SNAP, masing-masing tidak mahu merenggang atas satu tujuan iaitu mahu bertanding di banyak kerusi DUN Sarawak.

Sebaik saja DUN Sarawak dibubarkan, kedua-dua parti Pembangkang itu telah melancarkan serangan psikologi hingga membuatkan mereka berlawan sesama sendiri biarpun sebelum itu umpama adik dan abang yang tidak dapat dipisahkan. Seperti biasa, PKR yang mendapat bantuan daripada PAS dan DAP serta Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim telah berjaya memenangi 3 kerusi daripada beberapa buah kerusi yang dipertandingkan. Manakala, SNAP yang bertanding di kesemua 35 DUN yang majoritinya Dayak telah kalah kesemua kerusi dan ada di antara calonnya hilang wang pertaruhan.

Hari ini, Ketua PKR Miri, Dr. Michael Teo mengumumkan bahawa PKR Sarawak tidak akan bekerjasama dengan SNAP dalam PRU-13 akan datang ini dan telahpun menutup pintu. Pendek kata PKR telah menceraikan SNAP dengan talak 3.

“Tiada lagi kerjasama dan kami (PKR) sudah menutup kepada SNAP untuk sebarang kerjasama menjelang PRU-13.

Ketua PKR Miri, Dr. Michael Teo
  
Tegas Dr. Michael Teo lagi, penceraian ini bukan hanya melibatkan PKR bahkan termasuk Pakatan Pembangkang yang diwakili PAS dan DAP. Secara dasarnya, SNAP akan bergerak sendiri dalam PRU-13 jika berhajat untuk bertanding dalam pilihan raya itu nanti.

Dalam PRN Sarawak Ke-10, PKR Miri telah mengalami kerugian yang besar disebabkan penghianatan yang telah dilakukan SNAP. SNAP dikatakan cuba mempergunakan PKR dalam pilihan raya tersebut.

PKR dan Pakatan Pembangkang telah menanggung banyak kerugian disebabkan telah mencetak logo SNAP bersama logo PKR, PAS dan DAP di kebanyakan bahan kempen seperti baju, bendera, poster dan sebagainya.

Jika PKR sudah bercerai talak tiga kepada SNAP, di manakah masa depan SNAP dalam politik Sarawak? Apakah SNAP akan berganding bahu bersama dengan Sarawak Workers Party (SWP). 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger