Wednesday, November 21, 2012

DUN SARAWAK: 3 USUL PEMBANGKANG DITOLAK



Persidangan DUN Sarawak memasuki har kedua semalam dengan menyaksikan tiga usul yang dikemukakan oleh pembangkang ditolak.

Usul pertama yang dikemukakan Ting Tze Fui (DAP-Meradong) berhubung pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Sarawak. Bagaimanapun, usul ini telah ditolak Speaker Dewan disebabkan perkara itu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Ting Tze Fui mahu kerajaan Negeri Sarawak menolak pemberian projek bagi pelaksanaan dan operasi AES, yang disifatkan kontroversi sejak pengenalannya, kepada dua pemegang konsensi swasta.

Kerajaan Negeri Sarawak juga diminta menangguhkan pelaksanaan AES sementara menunggu kajian lanjut, rundingan dan pengesahan bagi kelemahannya dari segi pelaksanaannya di laluan berkelajuan rendah di Sarawak supaya rakyat tidak didenda secara tidak adil.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memberitahu, di bawah Perintah Am 23(6), usul dikemukakan tidak boleh berkaitan dengan perkara di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

“Hakikatnya ialah undang-undang mengenai AES sudah dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat merupakan bukti kukuh yang tidak dapat diragui,” katanya pada persidangan DUN Sarawak.

Manakala, usul Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek) berhubung projek-projek hidroelektrik yang mana beliau mahu semua rancangan untuk pembinaan 12 projek HEP yang dicadangkan sebelum ini dibatalkan.

Sementara itu, usul Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) yang berasaskan majalah di London keluaran November 2012 turut ditolak.

Berhubung majalah itu, beliau mahu juruaudit antarabangsa bebas dilantik untuk meninjau dan menjalankan inventori sepenuhnya ke atas estet hutan di Sarawak.

Ini adalah berdasarkan terbitan sebuah majalah antara-bangsa yang mendakwa Sarawak kehilangan lebih 90 peratus daripada hutannya kepada pembalakan, iaitu kadar paling cepat di Asia, sementara kerajaan memberitahu sekurang-kurangnya 60 peratus hutan di negeri kekal tidak disentuh.

Asfia memberitahu, laporan yang diterbitkan majalah dan imej satelit oleh pertubuhan itu tidak disahkan oleh pertubuhan alam sekitar di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli atau Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

“Setiap soalan tidak harus ditanya sekadar untuk mengesahkan kenyataan dalam akhbar atau individu atau pertubuhan bukan rasmi adalah benar,” katanya.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger