Thursday, November 29, 2012

NAJIB ‘MINTA MAAF’ KEPADA RAKYAT MALAYSIA ATAS KEKHILAFAN YANG WUJUD MASA LALU



PRU-13 yang akan datang ini bukan pilihan raya biasa kerana berhadapan dengan Pakatan Pembangkang yang kini sangat bernafsu ke Putrajaya walaupun terpaksa mencetuskan pelbagai isu untuk menarik perhatian rakyat Malaysia.

Tidak mengikut rentak Pakatan Pembangkang, BN yang berusaha mahu mengekalkan rentak kemenangan dengan lebih baik lagi pada PRU-13 akan datang ini mengaku apa yang pernah dilakukan BN pada PRU 2008 telah benar-benar mengajar erti perjuangan untuk rakyat.

"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," kata Najib Razak.

Peralihan kuasa pentadbiran tertinggi Kabinet Malaysia pada tahun 2009 benar-benar telah mentransformasikan Malaysia ke arah yang lebih baik. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengambilalih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi harus diberikan peluang dan ruang untk membuktikan kewibawaannya dalam membawa Malaysia sebagai Negara Maju pada tahun 2020.

PRU-13 adalah pilihan raya pertama Najib Razak sebagai BN dan sebelum ini telah membuktikan kewibawaannya di sepanjang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak, April tahun lepas.

Dilihat cuba menjelaskan bahawa pengundi tidak sewajarnya menghukum atas kesilapan dan kelemahan yang wujud sebelum ini pada PRU-13, Presiden UMNO berkata, "bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah."

Ikuti Ucapan Dasar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Presiden UMNO.

Dalam ucapan dasar yang disampaikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Najib berkata, UMNO tidak akan membiarkan negara ini hancur dan runtuh di sebabkan tindak tanduk pihak yang mentabur fitnah.

"Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.

"Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri," kata beliau dalam ucapannya yang mengambil masa hampir 90 minit.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRU-13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.

"Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.

"Antara sebuah Malaysia yang maju  berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau.

Najib menambah, hasil kerja keras setiap generasi telah membentuk Malaysia, yang dikagumi rakan dan dihormati taulan.

"Siapa menjangka bumi yang sarat  dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.

"Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.

"Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman," katanya lagi.

Najib berkata, beliau selaku Presiden Umno bersama-sama timbalanya serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama ALLAH dan Rasul-Nya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah jalan.

"Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," katanya lagi.

Malah kata beliau, pihaknya akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik.

"Kita akan bersaing untuk setiap undi,  kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.

"Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

UMNO TERUS MARA UNTUK RAKYAT MALAYSIA....

3 komen:

  1. Well said Dato' Sri Najib. Sebab BN/UMNO-lah, dengan izin Allah, hanya dalam langkau satu generasi saja kami rakyat Melayu & Bumiputra Sarawak dapat keluar dari kepompongan kemiskinan... Dan, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum Cina yang pada zaman penjajahan British dahulu mendominasikan bidang pelajaran dan ekonomi. Walaupun masih ada di kalangan kami agak masih keterbelakang, insya-Allah dengan batuan BN/UMNO seterusnya kami akan melepasi segala benteng untuk melonjak bersama 1Malaysia ke Era Negara Maju 2020.

    ReplyDelete
  2. itu najib minta maaf, kalau anuwar....itu fitnah umno..itu bukan saya, perut tak sama, muka je sama...wartawan putar belit kenyataan saya..saman.....

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger