Monday, November 19, 2012

PKR MIRI AKUI BR1M 2.0 BANYAK MEMBANTU RAKYAT



Ketua PKR Cawangan Miri, Dr. Michael Teo mengambil inisiatif untuk membantu mengedar dan mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang merupakan sebahagian daripada Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat.

Tindakan Dr. Michael Teo itu dilihat suatu tindakan yang proaktif dalam membantu rakyat khususnya di luar bandar dalam mendapatkan BR1M. Ini berikutan jumlah penduduk yang menerima BR1M dijangka meningkat memandangkan syarat mereka yang layak menerima BR1M itu telah diturunkan dengan mereka yang berumur 21 tahun ke atas juga layak menerima BR1M itu.

Untuk itu, PKR Cawangan Miri telah mengambil inisiatif untuk mengedarkan BR1M 2.0 di sekitar Tamu Kedayan serta pusat komersial Miri Centre Point di sini, seawal jam 6.30 pagi semalam hingga jam 10 pagi.

Ketua PKR Miri, Dr. Michael Teo berkata borang tersebut diedarkan bagi memastikan kumpulan sasar mendapat maklumat jelas berhubung bantuan tersebut. Seperti seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa beliau tidak mahu seorang pun di kalangan mereka yang layak mendapatkan BR1M itu akan terlepas. Justeru, bantuan daripada PKR Miri itu amat wajar dalam membantu setiap rakyat mendapatkan BR1M seperti mana yang dilakukan komponen BN Sarawak seperti PBB, SUPP, PRS dan SPDP.

“Walaupun pendaftaran BR1M 2.0 boleh dilakukan secara ‘online’, namun tidak semua yang tahu dan dapat melakukannya, justeru kami (PKR) turun padang untuk mengedarkan kepada kumpulan sasaran dan juga membantu mereka mengisi borang,” katanya.

Parti Keadilan Rakyat telah berjaya mengedarkan 200 borang permohonan kepada orang awam dan memastikan mereka yang benar-benar layak menerima borang berkenaan.

Menurut Dr Teo, melalui pendekatan turun padang seperti itu bukan sahaja membantu memperjelas kekeliruan orang awam mengenai BR1M 2.0 tetapi sama ada ahli keluarga layak menerima atau sebaliknya.

Inisiatif yang ditunjukkan PKR Miri wajar dicontohi oleh PKR Sarawak mahupun DAP dan PAS yang selama ini hanya pandai mengkritik BR1M sebagai rasuah dan gula-gula politik menjelang PRU-13.

1 komen:

  1. Alamak! Jaga jaga pok. Tok strategi 'Mengikut Irama, Menyanyi Bersama' - in the end, lagunya 'saya punya'. Yang mendapat 'royalty' (keuntungan untuk persediaan PRU13) bukannya BN; tetapi, Pakatan Rakyat! Jadi, parti komponen BN di Miri mesti bertindak. Jangan biarkan lagu ciptaan YAB Perdana Menteri menjadi modal PR pulak. Prihatin dan proaktiflah beb. PRU13 dah dekat. Takkan masih tidur lagi.

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger