Tuesday, January 29, 2013

AMANAT HAJI HADI TERSEBAR DAN BOHONGI RAKYAT SARAWAK



Kejayaan penganjuran Ceramah Merdeka Rakyat di Desa Ilmu, Kota Samarahan dengan kehadiran Anwar Ibrahim dan kelangsungan PAS mengadakan ceramah Kebangkitan Rakyat Sarawak dan pengumuman calon PAS di Kampung Tanjung Bundung dengan kehadiran pemimpin PAS, Nizar Jamaluddin telah mendorong PAS melaksanakan Amanat Haji Hadi di Simunjan, Sarawak.

Setelah memperoleh Parlimen Samarahan, PAS kini bertekad untuk mendapatkan kawasan Parlimen Batang Sadong. Kawasan ini merupakan kawasan pertindihan PAS dan PKR kerana masing-masing mahu bertanding di kawasan ini berbanding BN Sarawak telah bersetuju meletakkan calon BN-PBB. Justeru, kini masing-masing (PAS dan PKR) hendak berebut kawasan Parlimen ini.

Demi untuk merealisasikan hasrat PAS dan PKR, mereka ini sanggup menyebarluaskan Amanat Haji Hadi di Sarawak dengan berbohong kepada penduduk Kampung Sungai Ba yang menjadi mangsa penipuan Pakatan Pembangkang. Dengan taktik yang kerap kali dilakukan di Semenanjung Malaysia dan kini menular ke Sarawak, penduduk Kampung Sungai Ba dikatakan sudah berpaling tadah dan menyokong Pakatan Pembangkang.

Menurut Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Sungai Ba, Mahani Mohamad, 52, yang juga seorang daripada mangsa penipuan Pakatan Pembangkang mendakwa penipuan yang digunakan oleh pihak pembangkang ialah dengan menyatakan bahawa jalan raya yang merupakan kemudahan asas yang sudah lama diidamkan rakyat di kampung itu akan dibina tidak lama lagi.

“Kami dimaklumkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu bahawa jalan raya menuju ke kampung kami akan dibina dan perkara itu akan diumumkan oleh pemberita dari sebuah televisyen swasta yang dikatakan ingin berjumpa dengan kami di sebuah pondok kebun di sini untuk membuat liputan.

“Kami sekampung datang ke tempat yang dimaklumkan kerana tidak sabar menantikan berita gembira yang akan diumumkan pemberita itu, namun kami terperangkap dan teraniaya dengan pembohongan itu,” katanya.

Mahani menjelaskan, penduduk yang datang kebanyakannya tidak tahu membaca sehinggakan mereka dimanipulasi oleh pembangkang untuk membawa sepanduk yang tertulis perkataan memburukkan kerajaan.

“Kami yang tidak tahu apa-apa dan tidak tahu membaca disuruh membawa sepanduk yang tertulis sesuatu yang memburukkan kerajaan sebelum mereka ini mengambil gambar dan menyebarkannya dalam laman sosial Facebook.

“Saya dan penduduk kampung menyedari bahawa ia satu pembohongan selepas menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini yang bertanyakan apa yang telah berlaku sehingga boleh berpaling tadah menyokong pembangkang,” luahnya yang kesal atas perbuatan tidak bertanggungjawab yang diamalkan oleh pembangkang.


Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Mereka datang ke Kampung Sungai Ba baru-baru ini untuk menabur janji dan melakukan pembohongan serta memburukkan kerajaan.

“Oleh itu, apa yang berlaku kepada penduduk di sini harus dijadikan iktibar kepada penduduk di kampung lain terutama di pedalaman agar tidak mudah termakan propaganda yang dibawa pembangkang,” katanya.

Tegasnya lagi, masyarakat luar bandar juga harus berhati-hati untuk mempercayai setiap maklumat dari laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.

“Pembangkang akan cuba menggunakan apa jua cara untuk mendapatkan sokongan termasuk menggunakan media sosial seperti Facebook.

Nampaknya, Pakatan Pembangkang kini terdesak untuk meraih undi pengundi penduduk tempatan Sarawak demi kelangsungan politik mereka. Sanggup melakukan apa sahaja biarpun perbuatan itu bertentangan dengan norma-norma kehidupan dan ajaran Islam. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger