Wednesday, January 2, 2013

SELANGOR KINI DIAMBANG PERUBAHAN POLITIK – RAKYAT SELANGOR



Rakyat di Selangor diingatkan supaya tidak lagi meletakkan harapan kepada Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah Pakatan Pembangkang untuk menerajui sebuah kerajaan yang dapat menjamin masa depan mereka ke arah yang lebih baik. Hampir 5 tahun telah diberikan rakyat Selangor selepas PRU 2008, tetapi kini kehidupan rakyat semakin terganggu dan dihimpit dengan 1001 macam isu yang tidak dapat diselesaikan Pakatan Pembangkang.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, meletakkan harapan kepada PKR, DAP dan PAS sebenarnya tidak akan membawa apa-apa perubahan untuk rakyat kerana ketiga-tiga parti itu hanya lebih mementingkan soal politik daripada membela nasib rakyat.

''Sejak 2008 hingga masuk tahun baru 2013, kita dapat melihat timbulnya pelbagai rungutan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat yang bangkit menuntut kerajaan negeri menunaikan janji kebajikan yang dibuat sebelum ini melibatkan golongan peniaga, ibu tunggal dan golongan muda.

''Begitu juga dalam soal asas kehidupan rakyat seperti bekalan air bersih yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri. Malah, kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang juga terpalit dengan pelbagai dakwaan salah laku seperti isu Talam, isu asrama Yayasan Selangor dan isu kerugian Universiti Selangor (Unisel).

''Sebagai rakyat Selangor yang inginkan masa depan yang terbaik, maka seharusnya kita bersama-sama menolak pakatan pembangkang daripada memegang tampuk pemerintahan negara dan negeri ini. Tiada makna menyokong parti yang hanya tahu berjanji tetapi tidak melaksanakannya untuk manfaat rakyat, negeri dan negara," katanya.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi pula menegaskan, Pakatan Pembangkang telah melakukan satu 'penipuan terbesar' kepada rakyat negeri apabila sebelum ini menyatakan manifesto kebajikan yang dibuat pada pilihan raya umum lalu sebagai 'bukan perjanjian'.

Selain penipuan tersebut katanya, rakyat Selangor turut berdepan dengan pelbagai kesulitan di bawah pentadbiran PKR, DAP dan PAS yang bukan hanya melibatkan kebajikan mereka semata-mata tetapi juga dari segi kenaikan kos seperti perumahan yang melambung tinggi.

''Di mana janji kerajaan negeri untuk menyediakan kehidupan yang selesa kepada rakyat? Malah hak kebajikan mereka turut dinafikan.

Jika PRU 2008, rakyat Selangor memberikan peluang kepada Pakatan Pembangkang untuk memerintah, kini tibanya untuk rakyat Selangor mengembalikan pemerintahan ini kepada BN untuk kehidupan yang lebih terjamin. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger