Monday, February 18, 2013

PENGUNDI CINA SUDAH KEMBALI KEPADA BN, PAKATAN PEMBANGKANG KEMBALI PANAS




Datuk Seri Najib Razak memecah tradisi sebagai Perdana Menteri pertama menghadiri program anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), sejak penubuhannya 59 tahun lalu.

Perdana Menteri bersama pemimpin MCA meluangkan masa lebih setengah jam menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pusat Pengajian Tinggi Dong Zong Jiao Zong, di sini.

Ketibaan Najib pada jam 9.45 pagi disambut meriah lebih 5,000 tetamu dan turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Pada majlis itu, Najib meluangkan masa makan bersama pemimpin Dong Zong sebelum menghadiri upacara ‘Lao Shang’ dan ‘Fei Chun’, iaitu menulis kaligrafi dalam bahasa Mandarin.

Najib bersama kepemimpinan Dong Zong, termasuk Presidennya, Dr Yap Sin Tian menulis kaligrafi pada empat papan tanda yang bermaksud ‘Menyambut Tahun Baru Bersama-Sama’.

Timbalan Naib Canselor (Akademik), Sunway Universiti, Prof Pua Eng Chong, yang turut menghadiri majlis itu menganggap detik bersejarah itu sebagai perkembangan positif warga pendidik Cina di seluruh negara.
“Sudah tentu warga pendidik dan gabungan Dong Zong gembira dengan perkembangan positif ini. Perkara seperti ini bagus untuk membentuk hubungan dua hala yang kukuh.

“Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan perlu diperhalusi, perlu dihayati dari segenap sudut. Ini adalah langkah ke arah kemajuan sektor pendidikan negara,” katanya yang yakin sikap terbuka Najib itu akan membantu meningkatkan interaksi dan komunikasi antara kerajaan dengan pertubuhan pendidikan khasnya pertubuhan pendidikan aliran bahasa Cina.

Sumber: BH Online

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger