Saturday, March 9, 2013

JAWAPAN BALAS SAIFUL BUKHARI AZLAN TERHADAP DAKWAAN BAPANYA DAN INGATAN KEPADA ANWAR IBRAHIM



Saiful Bukhari Azlan pula mendakwa bapanya, yang pagi tadi mendedahkan dia telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk memenjarakan Ketua Pembangkang berhubung kes liwat kali kedua, telah menjadi "mangsa kerakusan politik makhluk bernama Anwar bin Ibrahim."

"Demi ALLAH, agama, bangsa dan negara tercinta, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya.

"Saya akan terus istiqamah dan perpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan sehingga akhir hayat.

Ini susulan daripada sidang media TERTUTUP Azlan Mohd Lazim (bapa Saiful) bersama Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul di sebuah apartment di Tingkat 27, berhampiran Taman Melati, Kuala Lumpur.

Saiful juga berkata, Anwar tidak perlu mengheret Azlan ke kancah politik bagi mencapai matlamatnya pada pilihan raya umum kali ini.

“Saya juga memberi amaran kepada Anwar, walaupun terdesak jangan membabitkan bapa saya untuk memutarbelitkan keadaaan dalam mencapai matlamat beliau,” katanya.

Azlan mendakwa Saiful dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu tidak bertanggungjawab, yang mendalangi kes liwat kedua melibatkan Anwar.

"Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melibatkan anak saya," katanya.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, Anwar perlu segera bertaubat dan beliau turut berdoa semoga ALLAH membuka semula pintu hati bapanya kembali bersama mempertahankannya.

Saiful juga berkata, bapanya akan terus dihormati di samping berdoa serta beristiqamah dalam menempuh perkara ini.

“Kepada Anwar, bertaubatlah, telah lima tahun saya bertahan, dan berdiri teguh walaupun sukar, saya pasti ALLAH akan balas apa yang dilakukan yang menunjukkan sungguh terdesak serta jijik.

“Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat.

“Saya akan terus berdoa agar ALLAH bukakan hati bapa saya untuk kembali pada jalan ALLAH kebenaran, pertahankan anak kandungnya yang menjadi mangsa,” katanya lagi.

Pada sidang media selepas membaca kenyataan media itu, Saiful berkata bahawa beliau terkejut dengan tindakan bapanya dan beliau percaya tindakan bapanya itu didalangi pihak tertentu.

"Saya cuba hubunginya tetapi tidak dapat. Perbualan terakhir saya (dengan bapa) malam tadi dan tiada apa-apa yang berlaku. Kita hanya bincang urusan keluarga untuk ke Terengganu dan Kelantan selain perihal kucing. Sebab itu kenapa saya terkejut."

"Saya sendiri hendak tanya kenapa perkara ini berlaku yang mana semua orang pun hendak tahu. Saya rayu kepada bapa supaya kembali ke jalan yang benar.

"Terang-terang dia tahu Anwar salah... saya pun tidak tahu macam mana dia boleh terpengaruh. Beliau bersama saya setiap hari di mahkamah mengutuk Anwar malah dia orang pertama yang ke depan untuk buat sidang akhbar dan desak Peguam Negara buat rayuan (kes liwat)," katanya.

Beliau turut meminta Anwar dan pihak-pihak lain supaya tidak mengheret bapanya ke dalam kes tersebut.

"Janganlah melibatkan bapa saya walaupun terdesak untuk mencapai matlamat," katanya.

1 komen:

  1. Rasanya mungkin bapa saiful ada muslihat nak kenakan anwar.. kita tunggu dan lihat,umpama mceroboh k kem musuh.kita serang dari luar tak dapat,kta serang pula dari dlm hehe..

    ReplyDelete

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger