Wednesday, April 10, 2013

SINDROM LETAK CALON TANGKAP MUAT PAKATAN PEMBANGKANG CETUS PERGOLAKAN DALAMAN



Bahang PRU-13 kini semakin panas dan parti politik yang bertanding masing-masing kini cuba untuk mengumumkan calon bagi menarik hati pengundi. Bagaimanapun, siapakah calon yang diletakkan parti politik, imej parti itu sendiri sentiasa menjadi pilihan pengundi yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

BN masih lagi belum memuktamad senarai calon mereka dan dijangka akan berlaku pertukaran kerusi mengikut majoriti pengundi di setiap kawasan. Begitupun ia tidak menggugat jumlah kerusi yang ditandingi setiap komponen parti sepertimana yang dipersetujui.

Berbeza dengan Pakatan Pembangkang, di mana pertelingkahan kawasan yang akan ditandingi masih belum dapat diselesaikan. Sebaliknya, lobi melobi masih berlangsung biarpun Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim kini dalam rangka lawatan ke setiap negeri bagi mengumumkan calon.

Sindrom 'letak siapa sahaja pasti akan menang' yang diamalkan Pakatan Pembangkang khususnya PKR masih menjadi amalan mereka. Keghairahan menuju ke Putrajaya masih meluap-luap biarpun sebelum ini pernah menyatakan mereka mahu ‘menjual’ Putrajaya jika mereka memerintah.

Selain berlaku pertembungan dalam mengumumkan calon akibat berlakunya pertindihan, turut sama terjadi adanya dua calon Pakatan Pembangkang dalam satu kerusi. Di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan, PAS telah bertindak mengumumkan dua nama yang akan mewakili mereka iaitu Ketua Dewan Pemuda Pas Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan penyanyi Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin.

Pertembungan antara kedua-dua parti, PKR dan DAP dalam kawasan Parlimen di Sarawak juga dijangka akan berlaku di Parlimen Miri. Selepas Parlimen dibubar, sebanyak 4 set borang pencalonan telah dijual di Miri di mana ianya dibeli oleh BN-SUPP, PKR, DAP dan Bebas. Difahamkan, ada beberapa lagi kawasan Parlimen akan mengalami situasi yang sama seperti itu.

Tidak cukup dengan itu, ada ahli DAP yang tidak serasi dengan pilihan kepimpinan parti bertindak mengumumkan dirinya sebagai calon DAP meskipun tidak direstui parti yang mempunyai calon pilihan parti. Ini berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang yang menyaksikan perebutan calon sesama DAP apabila muka baharu yang diketengahkan pucuk pimpinan tidak mendapat sokongan akar umbi.

Di Pahang, pemilihan Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman sebagai calon pembangkang di Parlimen Indera Mahkota mengundang bantahan dalam kalangan ahli parti itu apabila salah seorang pengasas PKR negeri itu, G. Ramponusamy mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas semata-mata untuk melawan Fauzi.

Pergolakan PKR Pahang berterusan dan menurut laporan akhbar, Ketua Cabang PKR Paya Besar, Zahari Mamat mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Paya Besar biarpun calon PKR di kawasan itu telahpun diumumkan Anwar Ibrahim, iaitu Murnie Hidayah Anuar.

Selain Zahari, turut mengumumkan bertanding sebagai calon Bebas ialah Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Paya Besar, Mohamad Fauzi Ramli untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar.

Bagi pertandingan di Terengganu pula, pengumuman Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail bahawa PKR akan bertanding dalam 11 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen di negeri itu juga menimbulkan kontroversi.

Masakan tidak, pengumuman itu dilihat bertentangan kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Abdul Wahid Endut yang menegaskan bahawa persetujuan telah dicapai iaitu PAS akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen manakala PKR satu kerusi.

Apapun alasan dan hakikatnya, Pakatan Pembangkang tidak bersepakat dalam menentukan calon dan kawasan yang ditandingi. Jika ini sudah berlaku, bagaimanakah mereka mahu menunaikan ‘Manifesto Bukan Janji’ mereka kepada rakyat jika mereka memerintah. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger