Tuesday, June 25, 2013

BUJANG SENANG SARAWAK JUARAI LIGA PREMIER 2013 'NO LIVE NO PROBLEM'


Biarpun sepanjang Sarawak @ Bujang Senang mengharungi perlawanan bola sepak Liga Primier, tiada satu pun siaran langsung @ live diadakan di Stadium Negeri Sarawak, ketika Sarawak menjadi tuan rumah.

Pernah suatu ketika rakyat Sarawak khususnya yang tinggal di luar Kuching seperti di Sri Aman hingga ke Lawas meminta pihak bertanggungjawab seperti RTM mahupun Astro untuk menyiarkan perlawanan membabitkan Bujang Senang, tetapi jawapannya hingga ke hari ini tiada jawapan.

Anehnya, RTM mahupun Astro hanya menyiarkan perlawanan bola sepak yang membabitkan di Semenanjung dan Singapura. Apakah Sarawak dan Sabah bukan sebahagian daripada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia? Pasti FAM ada jawapannya.

Perkara siaran langsung ini pernah ditanya kepada beberapa pegawai kerajaan yang bekerja di Jabatan Penyiaran Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan jawapannya ialah kos melakukan siaran langsung membabitkan kos tinggi sehingga RM20,000 hingga RM30,000. Manakala, Astro yang bertindak sebagai sebahagian daripada penganjur juga tidak bersedia untuk membawa Siaran Langsung ke Sarawak biarpun rakyat Sarawak penyumbang terbesar kepada pendapatan Astro.

Apakah dengan kos sebanyak itu menyebabkan Sarawak tidak mempunyai peluang untuk menikmati siaran langsung? Jawapannya hanya kepada RTM dan Astro.


Sekali lagi, rakyat Sarawak mengharapkan agar diadakan siaran langsung dalam perlawanan penentuan Bujang Senang untuk disahkan sebagai Juara Liga Premier sama ada menerusi RTM mahupun Astro. Namun, usaha itu sia-sia yang mana akhirnya Sarawak juarai Liga Premier dalam suasana yang tempang tanpa dinikmati seluruh rakyat Sarawak.

Dengan kelasnya tersendiri, Bujang Senang telah membelasah Kuala Lumpur dengan jaringan 4-0 di hadapan ribuan penyokong yang dianggarkan seramai 25,000 orang. Itu tidak termasuk mereka yang berada di luar stadium dengan tiket yang terhad.

Empat gol skuad 'Bujang Senang' pada perlawanan di Kuching itu dijaringkan oleh Muamer Salibasic pada minit ke-20, Ronny Harun (minit ke-68), Joseph Kalang Tie (minit ke-85) dan Guy Bwele (minit ke-88).

Kemenangan ke-17 daripada 21 perlawanan yang dicatatkan oleh skuad 'Bujang Senang' bimbingan Robert Albert itu membolehkan mereka mengumpul 55 mata, berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Sime Darby FC dengan saingan liga berbaki satu perlawanan.

Pada perlawanan itu turut menyaksikan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang sekaligus menyampaikan Piala Liga Premier kepada pasukan Sarawak. Selaku juara, Sarawak meraih Piala Liga Perdana, cek berjumlah RM300,000 dan pingat kemenangan.


Buat RTM dan ASTRO renung-renunglah rintihan dan keluhan rakyat Sarawak yang mahukan siaran langsung diadakan mengikut keutamaan bukan mengikut pasukan yang diminati. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger