Tuesday, July 7, 2015

KINI DAP DAN PKR MULA BERCAKARAN REBUT KAWASAN DUN

0 komen

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata parti itu akan melebarkan sayapnya ke luar bandar khususnya kawasan yang gagal dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.
Beliau berkata itulah yang dimaksudkan logik mudah, iaitu di kawasan-kawasan PKR tewas pada PRU13 dan tidak banyak usaha dilakukan di peringkat akar umbi selepas itu, maka DAP perlu memainkan peranan untuk memenanginya.
“Bagaimana mungkin (PKR) boleh menjangkakan ada perubahan positif berlaku atau keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika PKR sendiri tidak melakukan aktiviti susulan.
“Memandangkan PKR tidak banyak turun padang dan melaksanakan tugas mereka di kawasan luar bandar, rata-rata calonnya pada PRU13 atau tidak berkhidmat di konstituensi tempat mereka bertanding, jadi kami DAP perlu turun padang di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah ia bertujuan menyekat kemaraan atau memberi lebih peluang kepada Barisan Nasional (BN) terus menguasai kawasan terbabit pada PRN akan datang.
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata untuk memenangi pilihan raya, ia menuntut persiapan dan kerja keras awal sebelum hari mengundi.
Oleh itu, katanya DAP melancarkan projek dikenali ‘Impian Sarawak’ pada awal September 2013 sejurus selepas PRU13 ketika ramai masih berasa kecewa.
“Apabila DAP tidak bertanding di kerusi di luar bandar PKR menuduh kami membiarkan mereka sendiri mengendalikan kerusi-kerusi sukar untuk dikuasai.
“Namun apabila DAP mula bekerja di kerusi-kerusi luar bandar, bersiap sedia menghadapi pilihan raya, PKR menuduh DAP mahu merampas kerusi-kerusi daripada mereka,” kata Chong.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan PKR Sarawak dalam laman sosial Facebook parti itu, yang antara lain mendakwa projek Impian Sarawak diperkenalkan DAP bertujuan merampas kerusi PKR Sarawak di pedalaman. 
Read more ►

Wednesday, July 1, 2015

CALON PEMUDA PBB DIINGATKAN AGAR SENTIASA BERSIH

1 komen
Kenyataan Ketua Pemuda PBB, Datuk Fadilah Yusof yang mahukan 10 peratus Pemuda PBB bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang disambut baik ahli-ahli Pemuda BN seperti yang pernah disuarakan mereka sebelum ini ketika mengadakan pertemuan di Kuching baru-baru ini. 

Bagaimanapun, Fadillah diingatkan agar tidak menyenaraikan calon Pemuda PBB yang 'tidak bersih' dengan masih lagi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Selain daripada tidak bersih, Ketua Pemuda PBB itu juga tidak memperjudikan nasib dengan menyenaraikan calon yang tidak disukai di kawasan sendiri biarpun memegang jawatan Timbalan Ketua Cawangan PBB. 

Calon itu mungkin disukai di kalangan rakan-rakan kerana sudah dibayar tetapi tidak di kalangan majoriti ahli-ahli parti peringkat cawangan disebabkan perlakuannya yang tidak sopan dan hanya berselindung di sebalik serban dan baju jubah putih. 

Jika tersilap langkah boleh menyebabkan BN kekurangan majoriti atau menang tipis. 

Justeru, saranan kepada Fadilah yang menyenaraikan 10 peratus calon muda dalam PRN Sarawak akan datang amat dialu-alukan. 

"Jika (seseorang) pegang jawatan parti, dia tidak semestinya menjadi calon dalam pilihan raya. Calon boleh dari luar parti pun. Ini adalah amalan PBB pada setiap pilihan raya...kita akan letak 10 peratus calon orang muda," katanya.

Selain PRN Sarawak, corak pemilihan calon ini perlu dikekalkan pada PRU-13 akan datang dalam menjaga imej BN agar dipandang tinggi oleh masyarakat. 

Pada PRU-14 akan datang pastinya ada beberapa muka baru yang akan menghiasi beberapa kerusi Parlimen seperti Parlimen Santubong yang mana penyandangnya kini dalam penggal terakhir. 

Read more ►

PBB MUNGKIN IKUT JEJAK UMNO TANGGUH PEMILIHAN

0 komen


Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun ini untuk membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemungkinan pemilihan parti itu akan diadakan selepas PRN Sarawak yang mandatnya akan berakhir pada Jun tahun depan.

"Penangguhan ini adalah biasa untuk menjaga kepentingan parti. Sebelum ini, PBB pernah menangguhkan (pemilihan parti) yang jatuh hampir pada pilihan raya kerana kita nak membuat persiapan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu akan mengikut jejak UMNO menangguhkan pemilihan parti.

Sebelum itu, Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya, menghadiri majlis menandatangani perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo Utara Sdn.Bhd di sini. 

Jumaat lepas, Majis Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno mengukuhkan parti serta menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya sama ada pemilihan PBB sebelum PRN akan menjejaskan sokongan khususnya dalam kalangan orang muda, Fadillah berkata calon PRN dan calon parti adalah tidak sama.

"Kalau (seseorang) pegang jawatan parti, dia tidak semestinya menjadi calon dalam pilihan raya. Calon boleh dari luar parti pun. Ini adalah amalan PBB pada setiap pilihan raya...kita akan letak 10 peratus calon orang muda," katanya.

Read more ►

APAKAH PKR SARAWAK MAHU TUNDUK DESAKAN CHONG CHIENG JEN?

0 komen

Isu keretakan DAP Sarawak dan PKR Sarawak bukanlah perkara baharu, tetapi kini telah memasuki detik-detik genting dengan ugutan keluar parti kepada PKR Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen telah menggesa PKR Sarawak memutuskan hubungan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak dan cuba untuk menubuhkan gabungan baharu iaitu Pakatan 2.0.

Ini semua gara-gara PKR Sarawak yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan terhadap pelawaan mereka sebelum ini untuk keluar daripada Pakatan Rakyat Sarawak dan menubuhkan Pakatan 2.0.

Menurut Chong, PKR Sarawak harus menjadi lebih tegas dan tidak berlengah-lengah mengenai isu tersebut agar tidak terjerat dengan mainan politik PAS Sarawak yang kini telah mendapat sokongan daripada UMNO dan BN.

“Rakyat Sarawak sedang melihat mereka (PKR) sama ada mereka dapat mempertahankan prinsip atau masih mahu berada dalam pakatan yang sama dengan PAS,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Menurut Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, selagi PKR masih dalam gabungan bersama PAS Sarawak maka pembentukan gabungan baharu Pakatan 2.0 adalah agak mustahil.

Sebaliknya, kini terpulang kepada PKR Sarawak untuk menyelamatkan masa depan politik mereka sekiranya masih relevan di Sarawak.

Tegasnya bagi DAP, mereka tidak bersetuju dengan apa yang PAS sedang usahakan terutama berhubung agenda hudud dan cara Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengendalikan parti.

“PAS telah menentang dan melanggar dasar bersama dalam Pakatan Rakyat terdahulu dan PKR perlu lebih tegas dengan tidak cuba menjaga perdamaian dengan mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Chong turut percaya bahawa agenda hudud PAS tidak akan mendapat tempat di Sarawak kerana ia hanya akan memusnahkan struktur sosial dan keharmonian di Sarawak.
Read more ►

Saturday, June 27, 2015

RAKYAT TIDAK MEMAHAMI KAEDAH BAHARU PENGIRAAN HUTANG NEGARA

0 komen

Rakyat tidak memahami sepenuhnya kaedah baharu pengiraan hutang negara yang mula dilaksanakan sejak 2014, menyebabkan mereka mudah dikelirukan pihak yang cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

Hakikatnya, tegas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Puad Zarkashi, pengiraan hutang negara sebanyak RM744 bilion itu turut merangkumi butiran termasuk hutang swasta, hutang syarikat awam serta hutang individu.

Malah jelasnya, hutang kerajaan hanya berjumlah lebih kurang dua peratus iaitu kira-kira RM16.8 bilion selain tidak berhutang kepada pihak seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Seperti yang disebutkan, hutang negara sebanyak RM744 bilion. Namun, apa yang berlaku adalah rakyat tidak dimaklumkan bahawa cara pengiraan hutang ini sudah berubah sejak tahun 2014.

"Hutang yang disenaraikan ini termasuk hutang swasta, hutang syarikat awam, hutang individu bahkan hutang orang luar yang membeli bon di negara kita turut dimasukkan sekali.

"Sebenarnya, hutang kerajaan hanya lebih kurang dua peratus sahaja iaitu kira-kira RM16.8 bilion dan ianya tidak banyak. Apa yang nyata, kerajaan tidak berhutang dengan Bank Negara atau pun kepada IMF," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan lebih 80 anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa, di sini, semalam. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Jasa Negeri Terengganu, Adli Kesah.

Puad turut menyuarakan rasa kesalnya berikutan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan fakta kononnya negara akan bankrap manakala ekonomi negara tidak stabil.

"Rakyat di negara ini dikelirukan mengenai hutang negara oleh banyak pihak yang cuba memanipulasi fakta dan cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan.
"Kalau kita lihat, melalui kaedah kiraan baharu ini, hutang negara lain masih tinggi berbanding negara kita. Singapura misalnya, hutangnya apabila dikira menerusi kaedah baharu ini adalah sebanyak RM3 trilion," katanya.

Puad turut menyifatkan zaman 'hyper connectivity' (kesalinghubungan) ketika ini sebagai cabaran hebat kerana membuka ruang terhadap fitnah, pembohongan serta fakta yang diputarbelitkan.

"Kalau tak dijawab segera akan membentuk persepsi. Rakyat akan percaya kepada perkara yang tak betul," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Jasa akan terus mempertingkat peranannya dengan menangkis tohmahan serta menyebarkan maklumat yang tepat kepada rakyat.   

"Jasa sendiri akan meningkatkan keupayaannya di media sosial menerusi penyampaian maklumat kepada rakyat agar mereka tidak mudah percaya dengan fakta yang sengaja diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Read more ►
 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger