Wednesday, July 1, 2015

APAKAH PKR SARAWAK MAHU TUNDUK DESAKAN CHONG CHIENG JEN?


Isu keretakan DAP Sarawak dan PKR Sarawak bukanlah perkara baharu, tetapi kini telah memasuki detik-detik genting dengan ugutan keluar parti kepada PKR Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen telah menggesa PKR Sarawak memutuskan hubungan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak dan cuba untuk menubuhkan gabungan baharu iaitu Pakatan 2.0.

Ini semua gara-gara PKR Sarawak yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan terhadap pelawaan mereka sebelum ini untuk keluar daripada Pakatan Rakyat Sarawak dan menubuhkan Pakatan 2.0.

Menurut Chong, PKR Sarawak harus menjadi lebih tegas dan tidak berlengah-lengah mengenai isu tersebut agar tidak terjerat dengan mainan politik PAS Sarawak yang kini telah mendapat sokongan daripada UMNO dan BN.

“Rakyat Sarawak sedang melihat mereka (PKR) sama ada mereka dapat mempertahankan prinsip atau masih mahu berada dalam pakatan yang sama dengan PAS,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Menurut Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa, selagi PKR masih dalam gabungan bersama PAS Sarawak maka pembentukan gabungan baharu Pakatan 2.0 adalah agak mustahil.

Sebaliknya, kini terpulang kepada PKR Sarawak untuk menyelamatkan masa depan politik mereka sekiranya masih relevan di Sarawak.

Tegasnya bagi DAP, mereka tidak bersetuju dengan apa yang PAS sedang usahakan terutama berhubung agenda hudud dan cara Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengendalikan parti.

“PAS telah menentang dan melanggar dasar bersama dalam Pakatan Rakyat terdahulu dan PKR perlu lebih tegas dengan tidak cuba menjaga perdamaian dengan mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Chong turut percaya bahawa agenda hudud PAS tidak akan mendapat tempat di Sarawak kerana ia hanya akan memusnahkan struktur sosial dan keharmonian di Sarawak.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger