Tuesday, July 7, 2015

KINI DAP DAN PKR MULA BERCAKARAN REBUT KAWASAN DUN


Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata parti itu akan melebarkan sayapnya ke luar bandar khususnya kawasan yang gagal dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.
Beliau berkata itulah yang dimaksudkan logik mudah, iaitu di kawasan-kawasan PKR tewas pada PRU13 dan tidak banyak usaha dilakukan di peringkat akar umbi selepas itu, maka DAP perlu memainkan peranan untuk memenanginya.
“Bagaimana mungkin (PKR) boleh menjangkakan ada perubahan positif berlaku atau keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika PKR sendiri tidak melakukan aktiviti susulan.
“Memandangkan PKR tidak banyak turun padang dan melaksanakan tugas mereka di kawasan luar bandar, rata-rata calonnya pada PRU13 atau tidak berkhidmat di konstituensi tempat mereka bertanding, jadi kami DAP perlu turun padang di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah ia bertujuan menyekat kemaraan atau memberi lebih peluang kepada Barisan Nasional (BN) terus menguasai kawasan terbabit pada PRN akan datang.
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata untuk memenangi pilihan raya, ia menuntut persiapan dan kerja keras awal sebelum hari mengundi.
Oleh itu, katanya DAP melancarkan projek dikenali ‘Impian Sarawak’ pada awal September 2013 sejurus selepas PRU13 ketika ramai masih berasa kecewa.
“Apabila DAP tidak bertanding di kerusi di luar bandar PKR menuduh kami membiarkan mereka sendiri mengendalikan kerusi-kerusi sukar untuk dikuasai.
“Namun apabila DAP mula bekerja di kerusi-kerusi luar bandar, bersiap sedia menghadapi pilihan raya, PKR menuduh DAP mahu merampas kerusi-kerusi daripada mereka,” kata Chong.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan PKR Sarawak dalam laman sosial Facebook parti itu, yang antara lain mendakwa projek Impian Sarawak diperkenalkan DAP bertujuan merampas kerusi PKR Sarawak di pedalaman. 

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger