Wednesday, July 1, 2015

PBB MUNGKIN IKUT JEJAK UMNO TANGGUH PEMILIHAN



Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan untuk menangguhkan pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung tahun ini untuk membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemungkinan pemilihan parti itu akan diadakan selepas PRN Sarawak yang mandatnya akan berakhir pada Jun tahun depan.

"Penangguhan ini adalah biasa untuk menjaga kepentingan parti. Sebelum ini, PBB pernah menangguhkan (pemilihan parti) yang jatuh hampir pada pilihan raya kerana kita nak membuat persiapan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu akan mengikut jejak UMNO menangguhkan pemilihan parti.

Sebelum itu, Fadillah, yang juga Menteri Kerja Raya, menghadiri majlis menandatangani perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuhraya Pan Borneo Utara Sdn.Bhd di sini. 

Jumaat lepas, Majis Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno mengukuhkan parti serta menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ditanya sama ada pemilihan PBB sebelum PRN akan menjejaskan sokongan khususnya dalam kalangan orang muda, Fadillah berkata calon PRN dan calon parti adalah tidak sama.

"Kalau (seseorang) pegang jawatan parti, dia tidak semestinya menjadi calon dalam pilihan raya. Calon boleh dari luar parti pun. Ini adalah amalan PBB pada setiap pilihan raya...kita akan letak 10 peratus calon orang muda," katanya.

0 komen:

Post a Comment

 

Copyright © POLITIK SEMASA SARAWAK Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger